Perdana Menteri dipercayai mempunyai alasan munasabah untuk dibicara kes berunsur seks jauh dari wartawan dan orang ramai
Seorang perdana menteri dipercayai mungkin mempunyai alasan munasabah untuk dibicara kes berunsur seks jauh dari wartawan dan orang ramai.
Ini disebabkan seorang ketua eksekutif tertinggi negara memikul beban tugas yang berat dan mencabar pada tahap tinggi. Gangguan emosi melampau akibat perbicaraan terbuka boleh menjejaskan prestasi ketua berkenaan dalam mentadbir sesebuah negara. Akhirnya, ia akan memberi kesan negatif kepada rakyat kebanyakan.
Perbicaraan terbuka juga boleh menimbulkan berbagai persepsi negatif yang boleh memburukkan imej pemimpin berkenaan apabila sesuatu yang sensitif diberitahu di mahkamah. Sedangkan walau ia belum muktamad dan belum dibuktikan, ia boleh memberi gambaran kepada awam seolah-olah keterangan itu adalah betul.
Mentadbir negara dan hal peribadi berunsur seks adalah dua aspek berbeza. Justeru, perbicaraan tertutup diyakini dapat membendung kecampuradukan yang boleh mencetuskan krisis keyakinan terhadap pemimpin hanya kerana persembahan dari keterangan saksi.
Sementara itu, portal berita pro-pembangkang MalaysiaNow melaporkan pada Jumaat, 3 April 2026, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memohon penangguhan saman serangan seksual oleh Encik Yusoff Rawther, kira-kira sebulan selepas Mahkamah Rayuan mengarahkan beliau membayar kos RM50,000 kepada bekas pembantunya itu kerana menyebabkan kelewatan perbicaraan yang sepatutnya bermula pada Julai tahun lepas.
Dalam dokumen mahkamah yang didakwa dilihat sendiri oleh portal berkenaan, Anwar memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tiga persoalan yang berkisar beberapa dakwaan daripada Yusoff dalam samannya terhadap pemimpin PKR itu.
Anwar pada masa sama meminta agar perbincangan mengenai soalan-soalan yang dikemukakan itu tidak dijalankan di mahkamah secara fizikal, dengan alasan kehadiran beliau sebagai perdana menteri pasti akan menarik perhatian orang ramai dan media.
"Isu-isu dan/atau persoalan-persoalan awal yang dibangkitkan hendaklah didengar dan diselesaikan melalui afidavit-afidavit, atau dalam alternatif, secara kamera dan/atau melalui komunikasi jarak jauh, dengan mengecualikan ahli media, orang awam, wartawan dan/atau mana-mana orang yang tidak terlibat secara langsung dalam prosiding," menurut notis difailkan firma guaman Christopher & Lee Ong.
Menurutnya, permohonan ini harus ditentukan melalui "teknologi komunikasi jarak jauh" berdasarkan Seksyen 15A Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Persoalan mengenai kehadiran Yusoff di kediaman Bukit Segambut
Persoalan yang dikemukakan termasuk dakwaan oleh Yusoff bahawa setiausaha sulit Anwar, Shukri Saad, meminta Yusoff menyampaikan sendiri sebuah teks ucapan kepada presiden PKR itu di kediamannya di Bukit Segambut Dalam pada 2 Oktober 2018, iaitu hari serangan seksual itu didakwa berlaku.
Anwar turut mempertikaikan dakwaan bahawa pegawai keselamatannya, Norafee Ahmad @ Dekdi, telah menemani Yusoff ke rumah itu, di samping mempersoalkan sama ada pertemuan antara Yusoff dan Anwar benar-benar berlaku.
Menurut Anwar, Shukri tidak meminta Yusoff menyampaikan teks ucapan itu kepadanya, dan Norafee juga tidak menemaninya.
Katanya, salah seorang pegawai keselamatannya, Saiful Anwar Rusli, boleh mengesahkan bahawa Yusoff tidak hadir ke rumahnya, sambil menambah anaknya Nurul Nuha Anwar berada bersamanya pada setiap masa yang material dari jam 2 petang hingga 4 petang ketika serangan yang didakwa itu dikatakan berlaku.
Sambil menyifatkan persoalan yang dibangkitkannya "tidaklah rumit" dan memerlukan "pengesahan fakta-fakta yang terus terang dan ringkas", Anwar berkata sebarang penemuan bahawa dakwaan Yusoff adalah palsu akan membawa kepada "penjimatan masa dan perbelanjaan yang ketara" kerana perbicaraan tidak perlu diteruskan.
Beliau berkata tuduhan serangan seksual itu "tidak dan/atau tidak mungkin berlaku kerana plaintif langsung tidak bertemu dengan defendan pada 2 Oktober 2018".
Permohonan terbaharu Anwar itu dikemukakan menjelang tamat tempoh 30 hari yang diberikan kepadanya oleh Mahkamah Rayuan pada bulan lalu untuk menyelesaikan bayaran RM50,000 kepada Yusoff, sebagai ganti rugi tindakan perdana menteri menarik balik permohonan mendapatkan imuniti daripada saman serangan seksual. Difahamkan Anwar telah pun menyelesaikan bayaran tersebut.
Peguam Yusoff, Rafique Rashid, memberitahu mahkamah bahawa pertukaran peguam berulang kali oleh Anwar – empat kali sejak saman itu difailkan pada 2021 — serta permohonan imuniti, telah membebankan pihak pembelaan dengan dokumen dan hujahan bertulis, mengakibatkan kelewatan perbicaraan yang lama.
Pengurusan kes yang dijangka menetapkan tarikh baharu perbicaraan saman tersebut dijadualkan pada 8 April di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam saman yang difailkan oleh Yusoff, yang pernah bertugas di pejabat banglo Anwar di Petaling Jaya, pemuda itu mendakwa pemimpin PKR itu menyerangnya secara seksual pada 2 Oktober 2018, beberapa hari sebelum beliau memenangi pilihan raya kecil Port Dickson.
Beliau memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Anwar telah melakukan serangan seksual itu, di samping ganti rugi am, teladan dan teruk kerana mengalami trauma dan gangguan fizikal, psikologi dan sosiologi akibat kejadian yang didakwa itu.
Anwar telah menafikan tuduhan terhadapnya.
Tiga minggu sebelum perbicaraan saman itu dijadualkan bermula pada 16 Jun tahun lepas, Anwar membuat kejutan dengan permohonan mendapatkan imuniti kepada dirinya serta penangguhan kes.
Permohonan kontroversi itu difailkan ketika Yusoff masih direman di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu keputusan pertuduhan dadah dan senjata api ke atasnya.
Pada 12 Jun, mahkamah membebaskan Yusoff daripada tuduhan tersebut, selepas perbicaraan yang menyaksikan saksi pendakwaan membuat kenyataan bercanggah ketika pemeriksaan balas, sekali gus menguatkan spekulasi beliau merupakan mangsa konspirasi oleh individu yang mempunyai hubungan politik.
Tiga hari sebelum keputusan itu, Anwar berjaya mendapatkan penangguhan sementara perbicaraan saman serangan seksual.
Yusoff, cucu kepada aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang, Allahyarham SM Mohamed Idris, berkata pertuduhan dadah dan senjata api itu adalah rancangan "orang berkuasa" untuk memerangkapnya sebagai balas dendam terhadap saman serangan seksual terhadap Anwar.
Dalam laporan polisnya, Yusoff turut menamakan bekas setiausaha politik Anwar yang kini ahli perniagaan jutawan, Farhash Wafa Salvador, sebagai antara individu yang berdendam terhadapnya.
Yusoff pertama kali menuduh Anwar dalam satu akuan berkanun pada November 2019, diikuti laporan polis.
Ia disusuli siasatan polis yang menyaksikan Bukit Aman menjalankan ujian poligraf terhadap Yusoff, manakala Anwar memilih untuk menolak ujian pengesan pembohongan itu dengan alasan tuduhan terhadapnya tidak berasas.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment