Nampak sangat macam demo upahan
Malaysiakini hari ini melaporkan bekas ahli parlimen Sepang, Selangor, Encik Mohamed Hanipa Maidin menyifatkan desakan segelintir pihak dalam PKR agar Datuk Seri Rafizi Ramli meletak jawatan ahli parlimen sebagai sesuatu yang "lucu” dan tidak berasas.
Dalam satu kenyataan, pemimpin Amanah itu berkata, tindakan tersebut memperlihatkan seolah-olah usaha memperlekehkan sumbangan besar Rafizi dalam perjuangan menentang rasuah sebelum ini.
"Para pengkritik ini seolah-olah lupa - atau mungkin terlalu muda untuk menyaksikan - pengorbanan peribadi yang besar serta perjuangan yang pernah dilalui Rafizi dalam menentang rasuah rejim terdahulu.
"Atau mungkin ketika Rafizi berdepan pelbagai cabaran politik dalam melawan rejim korup ketika itu, mereka masih lagi memakai lampin," katanya.
Kenyataan itu hadir di tengah-tengah spekulasi dan desakan dari dalam PKR agar Rafizi meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Pandan.
Hanipa bagaimanapun tidak memperincikan pihak yang dimaksudkan dalam kritikannya itu.
Kelmarin, Jumaat 10 April 2026, sekumpulan individu mengadakan protes di hadapan pejabat Invoke Solutions Sdn Bhd dan menyerahkan memorandum bagi menggesa Rafizi berundur dari dunia politik.
Tiga isu utama yang diketengahkan adalah kegagalan Rafizi sebagai menteri ekonomi, dakwaan kegagalan menunaikan janji-janji manifesto Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15) serta dakwaan kegagalan pelaksanaan projek mesin layan diri dan Sistem Pangkalan Data Utama (Padu).
Sebelum ini seorang ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Encik Kumaresan Aramugam, mendakwa Rafizi melakukan “sabotaj politik dalaman” terhadap parti itu.
Hanipa, yang juga merupakan seorang peguam, turut mengulas mengenai lumrah dunia politik yang sering berubah mengikut kepentingan semasa.
Beliau memerhatikan bagaimana seseorang pemimpin yang dahulunya dijulang sebagai pejuang boleh disisihkan dalam sekelip mata apabila dianggap sebagai ancaman kepada status quo.
"Apa pun, politik sememangnya bersifat kejam.
"Pemimpin yang dahulunya dijulang sebagai tonggak kekuatan boleh dengan cepat dianggap sebagai persona non grata sebaik sahaja parti menganggap mereka sebagai ancaman," katanya.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment