Hishammuddin, Khairy dan Syed Hamid diterima kembali ke pangkuan UMNO
Malaysiakini sebentar tadi melaporkan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung malam ini memutuskan bahawa parti itu bersetuju menerima semula bekas pemimpinnya termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Encik Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, MKT menyokong penuh gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti.
"Antara nama-nama pemohon yang telah diputuskan oleh MKT termasuk Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan 6,252 bekas pimpinan serta ahli di peringkat UMNO Bahagian dan Cawangan seluruh Malaysia," katanya dalam kenyataan.
MKT UMNO pada 2023 memecat Khairy yang juga bekas ketua Pemuda UMNO dan Ahli Majlis Tertingginya, Tan Sri Noh Omar.
Beberapa pimpinan lain pula digantung, termasuk Hishamuddin yang digantung selama enam tahun.
Pada Mac lalu, Khairy menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO susulan pengumuman Ahmad Zahid yang "membuka pintu seluas-luasnya" kepada bekas ahli yang pernah digantung atau dipecat.
Hishammuddin turut menyatakan kesediaannya untuk kembali bersama parti itu sekiranya pucuk pimpinan parti itu ikhlas untuk menarik balik penggantungan terhadapnya.
Sementara itu, Asyraf berkata mesyuarat MKT UMNO malam ini turut meluluskan pindaan peraturan keahlian Umno bagi membolehkan pendaftaran ahli baru dibuat secara dalam talian, selaras dengan usaha memudahkan kemasukan golongan muda ke dalam parti.
MKT katanya turut membincangkan isu kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga minyak dan inflasi global, selain kesan ketidaktentuan ekonomi antarabangsa.
Sehubungan itu, kepimpinan UMNO di negeri-negeri ditadbir parti itu khususnya di Johor, Melaka, Perak dan Pahang disaran memfokuskan bantuan-bantuan tambahan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang terkesan.
UMNO turut mengumumkan penganjuran Sambutan 80 Tahun parti itu yang akan berlangsung dari 1 hingga 5 Mei di World Trade Centre Kuala Lumpur, dengan pelbagai program termasuk konvensyen, kongres pendidikan dan karnival keusahawanan.
Selain itu, katanya, MKT membenarkan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO mengadakan persidangan cawangan secara hibrid bagi memudahkan penyertaan ahli, khususnya dalam tahun yang tiada pemilihan parti.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment