11 sumber beritahu Reuters rundingan AS-Iran di Pakistan hampir mencapai kejayaan

Selepas malam bergelora dan adakalanya tegang di Islamabad, hujung minggu lalu, pegawai Iran dan Amerika Syarikat (AS) menamatkan rundingan peringkat tertinggi mereka dalam tempoh beberapa dekad tanpa sebarang kejayaan besar.

Namun menurut Reuters yang memetik 11 sumber yang arif mengenai rundingan berkenaan mendedahkan dialog sebenarnya masih diteruskan.

Pertemuan hujung minggu untuk menyelesaikan konflik antara AS dan Iran, yang diadakan empat hari selepas pengumuman gencatan senjata Selasa lalu, merupakan pertemuan langsung pertama antara pegawai AS dan Iran dalam tempoh lebih sedekad dan penglibatan paling kanan sejak Revolusi Islam Iran 1979.

Di Hotel Serena yang mewah di Islamabad, rundingan berlangsung di dua sayap berasingan dan satu kawasan gunasama — satu untuk pihak AS, satu untuk pihak Iran dan satu untuk mesyuarat tiga hala melibatkan perantara Pakistan, kata kakitangan operasi kepada Reuters.

Antara pelbagai isu yang menjadi pertaruhan ialah Selat Hormuz, titik transit utama bagi bekalan tenaga global yang disekat secara berkesan oleh Iran tetapi AS berjanji untuk membukanya semula, serta program nuklear Iran dan sekatan antarabangsa terhadap Tehran.

Harapan tinggi

Telefon tidak dibenarkan di dalam bilik utama, memaksa perwakilan, termasuk Naib Presiden AS JD Vance dan Speaker Parlimen Iran Mohammad Baqer Qalibaf, keluar semasa waktu rehat untuk menyampaikan mesej ke negara masing-masing, kata dua daripada sumber tersebut.

"Terdapat harapan yang tinggi di pertengahan rundingan bahawa akan ada kejayaan besar dan kedua-dua pihak akan mencapai persetujuan. Bagaimanapun, keadaan berubah dalam sekelip mata," kata sumber kerajaan Pakistan.

Satu lagi sumber yang terlibat dalam rundingan berkata semua pihak sudah "sangat hampir" untuk mencapai persetujuan dan berada pada tahap "80 peratus", sebelum berhadapan dengan keputusan yang tidak dapat diselesaikan di lokasi kejadian.

Dua sumber kanan Iran menyifatkan suasana sebagai berat dan tidak mesra, sambil menambah bahawa walaupun Pakistan cuba melembutkan suasana, kedua-dua pihak tidak menunjukkan sebarang kesediaan untuk mengurangkan ketegangan.

Suasana mula pulih

Walau bagaimanapun, dua sumber Iran berkata menjelang awal pagi Ahad suasana menunjukkan sedikit penambahbaikan, dan kemungkinan melanjut rundingan satu hari mula dibincangkan.

Namun begitu, perbezaan pendapat tetap ada. Sumber AS berkata pihak Iran tidak memahami dengan betul bahawa matlamat utama AS adalah untuk mempunyai perjanjian yang memastikan Iran tidak akan memperoleh senjata nuklear.

Antara kebimbangan Iran pula adalah rasa tidak percaya terhadap niat AS.

Laporan Reuters ini, berdasarkan sumber yang bercakap dengan syarat tidak mendedahkan identiti kerana sensitiviti perkara itu, sambil menawarkan gambaran pertama mengenai dinamik dalaman mesyuarat, bagaimana suasana di dalam bilik berubah, bagaimana rundingan berakhir selepas tanda-tanda mesyuarat mungkin dilanjutkan, dan bagaimana dialog lanjut tetap menjadi kemungkinan.

Tiada maklum balas segera daripada kerajaan Iran terhadap permintaan untuk ulasan mengenai isu yang dilaporkan dalam berita ini.

Pada Isnin, Presiden AS Donald Trump berkata Iran telah "menelefon pagi ini" dan bahawa "mereka mahu mengusahakan satu perjanjian." Reuters tidak dapat mengesahkan dakwaan itu dengan segera.

Donald Trump

Seorang pegawai AS, merujuk kepada komen Trump, berkata terdapat penglibatan berterusan antara AS dan Iran serta pergerakan ke hadapan dalam usaha untuk mencapai persetujuan.

Diminta mengulas, jurucakap White House Olivia Wales berkata kedudukan AS tidak pernah berubah pada pertemuan di Islamabad itu.

"Iran tidak boleh mempunyai senjata nuklear, dan pasukan perunding Presiden Trump berpegang teguh pada garis merah ini dan banyak lagi yang lain. Penglibatan diteruskan ke arah satu perjanjian," katanya.

'Pasang surut'

Seorang diplomat yang berpangkalan di Asia Barat berkata perbualan antara perantara dan rakyat Amerika telah diteruskan sejak Vance meninggalkan Islamabad, manakala sumber yang terlibat dalam rundingan berkata Pakistan masih menyampaikan mesej antara Tehran dan Washington.

"Saya ingin beritahu anda bahawa usaha penuh masih dijalankan untuk menyelesaikan isu-isu ini," kata Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pada Isnin.

Walaupun terdapat banyak halangan untuk perdamaian, kedua-dua pihak nampaknya mempunyai alasan yang kuat untuk mempertimbangkan pengurangan ketegangan.

Serangan AS nampaknya tidak popular di dalam negara dan kelihatan tidak mungkin dapat menggulingkan sistem pemerintahan teokrasi Iran, manakala tindakan Tehran menyekat bekalan tenaga menjejaskan ekonomi global dan meningkatkan inflasi beberapa bulan sebelum pilihan raya pertengahan penggal AS.

Ishaq Dar, Menteri Luar Pakistan

Selain itu, kerosakan perang terhadap ekonomi Iran yang sedang merosot berisiko menyebabkan pihak berkuasa di sana lebih lemah secara dalaman hanya beberapa minggu selepas protes yang mereka mampu tumpaskan hanya dengan pembunuhan beramai-ramai.

Di Islamabad, musuh lama itu berkumpul untuk cuba merangka jalan ke arah penyelesaian jangka panjang, selepas gencatan senjata yang diusahakan Pakistan menghentikan seketika perang selama enam minggu yang telah mengorbankan beribu-ribu orang dan mengganggu bekalan tenaga dunia.

Reuters menyebut punca utama pertikaian adalah kepercayaan dalam kalangan negara Barat dan Israel bahawa Iran mahukan bom nuklear. Iran menafikan sedang berusaha mendapatkan senjata nuklear.

Jumlah aset dibekukan

Seorang pegawai White House berkata AS mahu Iran menamatkan semua pengayaan uranium, merombak semua kemudahan pengayaan nuklear utama, menyerahkan uranium yang diperkaya tinggi, menerima keamanan yang lebih luas, bersetuju dengan kerangka keselamatan yang merangkumi sekutu serantau, menamatkan pembiayaan untuk proksi serantau dan membuka sepenuhnya Hormuz tanpa mengenakan sebarang bayaran tol.

Tuntutan Iran termasuk gencatan senjata kekal yang terjamin, jaminan tiada serangan masa depan ke atas Iran dan sekutu serantau, penarikan sekatan utama dan sekunder, penyahbekuan semua aset, pengiktirafan haknya untuk pengayaan dan kawalan berterusan ke atas Hormuz, kata sumber Iran.

Empat daripada 11 sumber berkata adakalanya dialog kelihatan hampir menghasilkan sekurang-kurangnya satu pemahaman kerangka kerja, tetapi gagal disebabkan program nuklear Iran, Selat Hormuz dan jumlah aset beku yang ingin diakses oleh Tehran.

Sumber Iran berkata kebanyakan pertukaran substantif di Islamabad adalah antara Vance, Qalibaf dan Menteri Luar Iran Abbas Araqchi.

Abbas Araqchi, Menteri Luar Iran

"Terdapat pasang surut. Ada saat-saat yang tegang. Ada yang keluar dari bilik, dan kemudian masuk semula," kata sumber keselamatan itu.

Wakil Pakistan, termasuk Ketua Tentera Asim Munir, dan Menteri Luar Ishaq Dar, bergerak antara kedua-dua pihak sepanjang malam untuk memastikan keadaan tetap berjalan lancar, kata lima sumber Pakistan.

'Bagaimana kami boleh percaya kamu’

Rundingan berlanjutan selama lebih 20 jam dengan kakitangan hotel yang bertugas makan, tidur dan bekerja di lokasi itu selepas menjalani pemeriksaan latar belakang, kata mereka.

Apabila perbincangan beralih kepada jaminan, melibatkan jaminan tidak menyerang dan pelepasan sekatan, nada suara Araqchi yang biasanya lembut menjadi lebih tajam, kata dua sumber Iran itu.

Sumber-sumber itu memetik dia sebagai berkata: "Bagaimana kami boleh percayakan anda sedangkan, dalam pertemuan Geneva yang lalu, anda berkata AS tidak akan menyerang semasa diplomasi sedang dijalankan?"

Serangan AS-Israel ke atas Iran bermula dua hari selepas kedua-dua pihak mengadakan pusingan rundingan sebelumnya di Geneva.

Selain perbezaan mengenai Hormuz, sekatan dan topik lain, kedua-dua pihak juga tidak bersetuju mengenai skop sebarang perjanjian. Walaupun Washington memberi tumpuan kepada fail nuklear dan Hormuz, Tehran mahukan pemahaman yang lebih luas, menurut dua daripada sumber tersebut.

Asim Munir, Ketua Tentera Pakistan

Semasa satu saat yang tegang, suara tinggi boleh didengari di luar bilik rundingan sebelum Munir dan Dar memanggil waktu rehat minum teh dan memindahkan kedua-dua pihak kembali ke bilik berasingan, kata sumber kerajaan itu.

'Tawaran terakhir dan terbaik kami'

Reuters melaporkan menjelang peringkat akhir perbincangan, yang berlarutan sehingga pagi Ahad, perwakilan AS bergerak antara bilik rundingan dan tingkat peribadi mereka jauh lebih kerap daripada pihak Iran, kata pegawai kanan Pakistan.

Sumber AS berkata naib presiden datang ke rundingan dengan matlamat untuk membuat perjanjian dan mencapai pemahaman bersama. Pihak AS telah berwaspada dengan rundingan yang berlarutan dengan Iran, mempercayai bahawa pihak Iran mahir dalam taktik melengah-lengah dan enggan membuat konsesi, kata sumber itu.

Walaupun menghadapi jalan buntu, apabila Vance muncul di hadapan wartawan kemudiannya untuk mengumumkan rundingan telah berakhir, kenyataannya membayangkan lebih banyak pertukaran dalam beberapa bentuk mungkin akan berlaku.

"Kami pergi dari sini dengan cadangan yang sangat mudah, satu kaedah pemahaman yang merupakan tawaran terakhir dan terbaik kami," katanya. "Kita akan lihat sama ada pihak Iran menerimanya."


Sumber berita dari Malaysiakini.

End©Permadu

Kunjungi blog Permadu Malaysia di permadumalaysia.blogspot.com

Oleh Fauzi Kadir
Ketua Pengarang

Penolong Pengarang
Jamaliah Mohd Salleh



Suntingan terakhir dan dibawa kepada anda oleh
Fauzi Kadir KETUA PENGARANG

© 2026 Permadu Malaysia 
Semua Hak Cipta Terpelihara
E-mel: permadu@gmail.com

DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG 

Akaun bank rasmi dan diberi kuasa bagi pihak Permadu Malaysia
Fauzi Bin Abd... 7600650948 CIMB Bank

Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.

Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. 

Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Australian political analyst says Malaysian PM's political party, PKR is in collapse

MAHATHIR MAY REJOIN UMNO

Ketua Pemuda UMNO ajak Ahli MKT UMNO bertumbuk

Isu Stadium Shah Alam, suami Hannah Yeoh dapat kontrak, parkir, terkini babi — faktor penyumbang PH kalah di PRN akan datang

OVERCONCENTRATION OF A MALAY POPULATION MAKES SHAH ALAM A GHOST CITY, SAYS ANALYST

It happens everywhere—Not only in our country

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim

GEMPAR: MUFTI PERLIS TERLIBAT BUNUH AMRI CHE MAT?

Mengapa tidak Sultan Pahang sendiri mengklarifikasi baginda ada bertitah addendum atau pun tidak

If PN chairmanship is for PAS, Hadi is the most suitable candidate, not Samsuri