Shamsul Iskandar, Albert Tei akan didakwa esok, Sofia pula sebagai saksi
Media di Malaysia dan antarabangsa melaporkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Encik Albert Tei, masing-masing berdepan lima pertuduhan berhubung kes rasuah.
Seperti dipetik Berita Harian, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dilapor sebagai berkata Shamsul Iskandar dan Tei akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok dengan empat pertuduhan, sebelum didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat ini, masing-masing dengan satu pertuduhan.
"Saya ingin memaklumkan siasatan sudah lengkap dan SPRM mendapat arahan untuk mendakwa Albert Tei dan Datuk Seri Shamsul Iskandar.
"Kedua-duanya akan dituduh dengan masing-masing lima pertuduhan dengan Albert Tei mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009, manakala Shamsul Iskandar mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
"Empat pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Kuala Lumpur esok, manakala satu lagi akan dibuat di Mahkamah Shah Alam, dijangka Jumaat ini," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Azam berkata, seorang lagi individu iaitu Cik Sofia Rini Buyong yang turut ditahan sebelum ini dan dibebaskan dengan jaminan SPRM, tidak akan dituduh di mahkamah, sebaliknya diklasifikasikan sebagai saksi bagi membantu siasatan.
Katanya, seramai 32 saksi sudah dipanggil untuk direkod keterangan dalam siasatan kes berkenaan dan semua mereka akan dimaklumkan sekiranya dipanggil ke mahkamah.
"SPRM mengambil tindakan proaktif menjalankan siasatan segera hasil laporan sebuah portal media dan kertas siasatan dibuka pada 26 November lalu kerana kes ini dikategorikan sebagai kes berkepentingan awam.
"Kes ini membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri dan mendapat liputan meluas daripada semua pihak sama ada di dalam negara serta mungkin di luar negara," katanya.
Media sebelum ini melaporkan tiga individu termasuk Shamsul Iskandar ditahan SPRM pada Jumaat lalu.
Turut ditahan adalah Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing dan wanita bernama Sofia Rini Buyong.
Susulan itu, Shamsul Iskandar dan Tei masing-masing direman enam hari, manakala Sofia Rini direman empat hari.
Azam sebelum ini dilaporkan berkata, Tei ditahan kerana menjadi individu paling penting dalam siasatan dakwaan membabitkan Shamsul Iskandar.
Katanya, SPRM juga sudah menyerahkan notis Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Tei, yang mana ia memberi kuasa kepada pihak berkuasa yang menyiasat bagi menafikan hak individu disiasat untuk berhubung dengan peguam dan mana-mana pihak lain.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.








Comments
Post a Comment