PAS dan Bersatu terlalu sibuk berpolitik dan projek, Raja Perlis dan Raja Muda yang banyak tabur kebajikan kepada rakyat
GAJI DAN ELAUN EXCO PERLIS LEBIH TINGGI DARI ELAUN RAJA MUDA. YANG LEBIH KOMITED KEPADA MASALAH RAKYAT IALAH INSTITUSI DIRAJA PERLIS, BERBANDING ORANG POLITIK.
1. Ramai menghubungi saya dan bertanya: Perlis OK ke? Saya bertanya kembali “kenapa tanya begitu?”. Jawab mereka: “Iyalah, dengar kelam kabut pasal ahli-ahli politik yang menarik sokongan terhadap kerajaan sedia ada, ada yang dipecat dan akhirnya MB pun dah letak jawatan”.
Maka, di sini saya ingin mengulas sedikit tentang keadaan di Perlis ketika ini. Saya kebetulan baru sahaja pulang ke Perlis semalam. Empat hari saya di Abu Dhabi menghadiri satu persidangan anjuran kerajaan UAE. Kemudian, saya terus ke Guangzhou China selama enam hari. Ertinya, sepanjang krisis saya tiada di Perlis. Sepanjang saya di luar, perasaan saya ketika mendengar krisis itu berlaku, bagaikan mendengar pasukan bolasepak Perlis kalah 2-1 dalam satu perlawanan. Itu sahaja. Demikianlah saya percaya perasaan kebanyakan rakyat di negeri ini. Kenapa? Tidakkah hal ini jika berlaku di tempat lain, satu kegawatan besar?
2. Ketika saya menulis kitab Sabab Wurud al-Hadith, antara hadis yang saya jadikan contoh tentang keperluan mengetahui konteks hadis untuk memahami sesuatu hadis ialah hadis:
عن عائشة، قالت: قال رسول الله ﷺ : "يَا عَائِشَةُ، بَيْتٌ لَا تَمْرَ فِيهِ جِيَاعٌ أَهْلُهُ، يَا عَائِشَةُ، بَيْتٌ لَا تَمْرَ فِيهِ جِيَاعٌ أَهْلُهُ" أَوْ "جَاعَ أَهْلُهُ" قَالَهَا مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا.
Daripada Aisyah, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: "Wahai Aisyah, rumah yang tidak ada kurma di dalamnya, lapar penghuninya. Wahai Aisyah, rumah yang tidak ada kurma di dalamnya, lapar penghuninya." Atau "lapar penghuninya," baginda mengulanginya dua atau tiga kali. (Riwayat Muslim)
Saya terjemahkan (teks asal dalam Arab) potongan dari kitab tersebut: Hadis ini adalah khusus bagi mereka yang makanan asasi (pokok) negeri mereka adalah kurma, seperti penduduk Madinah pada zaman itu. Kerana sudah maklum bahawa jika makanan asasi tidak ada di dalam rumah, maka penghuninya akan lapar. Sebagai contoh, di Malaysia, rumah yang tidak ada beras di dalamnya, lapar penghuninya, kerana beras adalah makanan asasi penduduknya. Walau bagaimanapun, mereka tidak akan lapar jika rumah mereka tidak ada kurma, bahkan ada di antara mereka yang tidak menyukai dan tidak memakannya. Ini tidak menafikan kesahihan makna hadis tersebut, kerana yang dimaksudkan ialah kewujudan makanan asasi di dalam rumah mencegah kelaparan kepada penghuninya. Akan tetapi, suasana Madinah (yang banyak kurma) telah mempengaruhi cara perbincangan, maka Rasulullah ﷺ memilih apa yang paling dekat dengan pemikiran pendengar.
3. Apa yang ingin saya sampaikan ialah, bukan semua keadaan sama. Apa yang penting, memahami perkara asas bagi sesuatu keadaan. Politik di Perlis mungkin tidak sama dengan negeri lain. Walaupun kelihatan macam sama, realitinya agak berbeza. Suasana sesuatu tempat dibentuk oleh manusia yang hidup di tempat itu sendiri. Pengaruh kehidupan di Perlis mungkin berbeza dari sebahagian di tempat lain.
4. Antara faktor utama yang membentuk suasana di Perlis ialah institusi Raja di negeri ini. Saya tidak berbicara tentang kesempurnaan. Sudah pasti tiada yang sempurna. Di Perlis, Institusi Raja tidak dikaitkan dengan kemewahan atau menggunakan institusi tersebut untuk mengaut kemewahan hidup. Mereka hidup dengan sederhana dan sentiasa ‘berkawan’ dengan rakyat. Tajuk-tajuk perbualan (titah) Raja dan Raja Muda Perlis adalah tajuk kehidupan rakyat di Perlis. Bahkan sehingga hal-hal yang kecil pun diberikan perhatian. Saya tidak berbicara perkara ini kerana saya Mufti Perlis yang ingin mengampu Raja atau Raja Muda Perlis. Sama sekali tidak. Sesiapa yang mengenali saya lebih dekat mengetahui itu bukan watak saya. Juga -alhamdulillah- saya juga bukan seorang penakut untuk mengkritik atau berbeza pandangan dengan sesiapa sahaja ketika saya rasa saya perlu berbuat demikian. Saya memuji Instutusi Raja Perlis dengan jujur. Saya tidak menyatakan ia sempurna seperti sesetengah mereka yang mengampu. Juga bukan semua hal saya bersependapat. Namun, saya menyatakan ia terbaik dalam keadaan yang ada. Sikap rendah diri, simpati, mengambil berat yang amat tentang rakyat yang bukan setakat lakonan pemanis bicara, sentiasa berfikir tentang kebaikan negeri dan keinginan memastikan tindakan yang dibuat selaras dengan agama sangat kuat dalam institusi ini di Perlis.
5. Saya ingin menyebut tentang peranan aktif Raja Muda Perlis. Ramai mungkin menyangka saya memuji kerana saya rapat. Tidak sama sekali. Saya pun bukan rapat dalam semua keadaan. Ada hal juga yang saya berbeda. Namun, saya hormati atau kendalikan selagi boleh atas dasar saya rakyat. Saya juga tidak ‘menyembah’ jawatan saya. Raja Muda Perlis bagi saya adalah faktor terpenting dalam pencorakan Negeri Perlis yang ada pada hari ini. Dengan perkenan Raja Perlis, Raja Muda Perlis telah memainkan peranan yang luar biasa. Sangat luar jangkaan. Berusaha menjaga kebajikan negeri, memajukan negeri, dan tersangat prihatin atas segala perkembangan negeri. Saya pun kadang-kala merungut “Tuanku ni tak rehat ka?”. Ini bagi menggambarkan perasaan orang yang bekerja dengan baginda.
6. Menerusi MAIPs (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis), baginda menggunakan kekuatan kewangan dan kepakaran yang ada untuk memastikan kebajikan rakyat Perlis terjaga. Bayangkan setiap minggu 2 kali (mungkin lebih) kayuhan ‘MAIPs Peduli’ memasuki setiap lorong di Perlis mencari rakyat yang susah. Baginda lebih tahu setiap denai dan alur di Perlis melebihi segala wakil rakyat yang ada. Untuk memberikan contoh, jika baginda ternampak bendera terbalik di lorong kampung pun, baginda akan minta segera dibetulkan. Bayangkan hal-hal yang lain. Dalam ertikata lain, majoriti rakyat Perlis apabila ingin meminta bantuan ‘teringat MAIPs dulu sebelum teringat YB’.
7. Jadual Raja Muda penuh dengan program rakyat. Baginda bukan sekadar hadir, tetapi berfikir strategi bagaimanakah memasti keberkesanan sesuatu program. Dari pagi sampai malam, ada sahaja aktiviti. Mungkin orang kata itu tugas Raja Muda dan ada elaun kena buat kerja la. Tidak benar. Dalam Undang-Undang Tubuh, hal itu tidak ditetapkan ke atas Raja Muda. Bahkan, saya difahamkan elaun exco di Perlis ini melebihi elaun Raja Muda sendiri. Kalau diandaikan baginda mendapat elaun pun, masih tidak berbaloi. Kerja dan sumbangan yang dibuat melebihi berkali ganda kerja yang dibuat oleh YB-YB. Ini setakat pemerhatian saya.
8. Ketua-ketua Jabatan sentiasa berada bersama Raja Muda bukan kerana kuasa tetapi ‘engagement’ yang begitu baik. Kepatuhan kerana suka itu lebih bermakna daripada kepatuhan kerana kuasa. Setiap minggu kayuhan Raja Muda membabitkan semua ketua Jabatan. Cadangan dan idea sentiasa diberikan untuk kebaikan negeri.
9. Adapun Raja Perlis, walaupun keadaan kaki baginda tidak mengizinkan pergerakan seaktif dulu, namun tiada isu rakyat yang terlepas dari pengetahuan baginda. Sangat ambil berat. Saya tahu kerana saya boleh dikatakan hampir setiap hari, selang sehari mengiringi baginda santap. Kadang-kala hanya saya sendirian mengiringi baginda. Saya tahu apa keprihatinan Raja Perlis. Bicara di meja makan biasanya insan akan menzahirkan apa yang ada dalam dirinya. Luahan perasaan yang asli dari dalam diri.
10. Titah baginda kepada saya yang saya tidak akan lupa: “Tugasan Dato ialah habaq yang betui kepada saya. Dato jangan kira saya suka ka, saya marah ka. Tugasan Dato cakap yang benar. Saya terima, tak terima, itu saya dengan Allah”. Saya sebak mendengar titah itu yang disampaikan ketika dalam keadaan santai. Dalam hal fatwa dan pandangan hukum, baginda titah kepada saya: “Dato, selagi ada dalil dan yakin benar, jangan dok kira apa orang kata. Habaq saja apa yang betui”. Itulah pengalaman saya setakat hari ini dengan Istana Perlis.
11. Saya tahu, ramai orang kenal Mufti Perlis dan pelbagai program di Perlis. Perlis menjadi destinasi ilmu dan juga rujukan kepada banyak pihak terutama golongan menengah ke atas. Apakah semua itu mudah terjadi tanpa dokongan Istana Perlis?! Justeru itu saya jumpa ramai rakyat biasa dalam dan luar Perlis, sama ada dalam perbualan atau di media sosial menyatakan mereka mendoakan agar Allah merahmati Istana Perlis. Terasa ikhlas perkataan mereka.
12. Atas keadaan ini, maka rakyat di Negeri Perlis ini tidak merasa apa sangat yang tergugat, selagi Istana Perlis masih berfungsi seperti biasa. Maka, pertukaran kerajaan atau ahli politik tidak sangat menggusarkan rakyat. Pun begitu kita semua mengindamkan kerajaan yang berkualiti dan benar-benar mampu membangunkan Negeri Perlis ini. Ia satu impian yang sudah lama. Sejak dahulu. Bayangkan, jika Istana yang bertanggungjawab seperti ini dibantu oleh kerajaan yang berwawasan, berwibawa dan berkualiti. Pastinya Perlis akan ke hadapan dalam banyak hal. In sha ALLAH.
Adaptasi dari artikel hasil tulisan Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis, yang dikongsi di media sosial hari ini. Pertama disiarkan di akaun media sosial beliau.
End©Permadu
| Adaptasi oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment