Hassan Karim Mungkin Lihat Isu Titah Adendum Dari Perspektif Berbeza — Yang Selari Dengan Sentimen Sesetengah Orang Melayu
Pemimpin PKR Selangor berkata kes Anwar dan Najib berbeza, Hassan perlu faham asas perundangan
Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengekalkan bekas Perdana Menteri yang merupakan anak sulung Perdana Menteri Ke-2, untuk terus menjalani hukuman di dalam penjara, telah menimbulkan reaksi bercampur-campur.
Kesimpulan ghairah dan semberono seperti mengaitkan kuasa Raja-Raja Melayu terhakis, serta menganggap keputusan mahkamah bermotif politik, adalah bukan sahaja mengelirukan. Malah ia merbahaya kerana boleh mencetuskan keresahan awam dan sentimen tidak menentu, khususnya di kalangan orang Melayu.
Justeru, seorang pemimpin dari parti dalam gabungan pemerintah berpendapat perbandingan dibuat Ahli Parlimen Pasir Gudang, Encik Hassan Abdul Karim di antara kes pengampunan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak adalah mengelirukan serta tidak berpaksikan asas perundangan yang betul.
Seperti dilapor akhbar Bahasa Melayu berpengaruh hari ini, Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, kedua-dua kes tersebut berbeza sama sekali dari sudut proses undang-undang dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Anwar mendapat pengampunan penuh kerana keputusan itu dibuat secara sah dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Itu fakta undang-undang yang tidak boleh dipertikaikan,” Sinar Harian memetik Dr Sathia sebagai berkata dalam satu kenyataan hari ini, Selasa 23 Disember 2025.
Sebaliknya, tambah Sathia, isu yang dibangkitkan Najib tidak melibatkan keputusan pengampunan oleh Lembaga Pengampunan, sebaliknya dakwaan wujudnya titah tambahan yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
“Dakwaan itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam mana-mana mesyuarat rasmi Lembaga Pengampunan,” katanya.
Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung dakwaan kewujudan titah adendum berkenaan.
Hakim Datuk Alice Loke dalam penghakimannya memutuskan bahawa isu penjara rumah tidak pernah menjadi sebahagian daripada keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari 2024.
Susulan keputusan itu, Najib diperintah untuk meneruskan baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang.
Sathia berkata, perbezaan inilah yang perlu difahami sebelum sebarang kenyataan dibuat kerana ia melibatkan keluhuran perlembagaan dan kefahaman terhadap prosedur undang-undang.
“Maka, inilah perbezaan utama yang perlu difahami oleh Hassan sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan tiada pihak yang mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja dalam isu tersebut.
“Mahkamah hanya memutuskan bahawa sesuatu keputusan mestilah dibuat melalui saluran yang sah dan diperuntukkan oleh undang-undang,” jelasnya.
Menurut beliau, Hakim Alice turut menyatakan dengan jelas bahawa konsep penjara rumah tidak diperuntukkan dalam undang-undang jenayah negara pada masa ini.
“Jika ia tidak diperuntukkan dalam undang-undang, bagaimana ia boleh dianggap sah? Keputusan ini mempertahankan keluhuran perlembagaan dengan memastikan setiap kuasa dilaksanakan mengikut proses yang betul,” katanya.
Dr Sathia turut mengimbas kembali pengampunan penuh yang diterima Anwar pada 2018, yang dibuat selepas Lembaga Pengampunan bersidang dan membuat keputusan secara rasmi.
“Keputusan itu kemudiannya dicabar di mahkamah, namun semua cabaran ditolak oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu membuktikan bahawa institusi kehakiman menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong selagi ia dibuat mengikut peruntukan perlembagaan.
“Dalam kes Najib, mahkamah mendapati tiada keputusan rasmi Lembaga Pengampunan yang membenarkan tahanan rumah. Justeru, dakwaan kewujudan titah tambahan itu tidak mempunyai asas perundangan.
“Ini isu kesahan prosedur, bukan isu politik, bukan isu sentimen dan bukan isu menghina Raja-Raja Melayu,” tegasnya.
Sathia menyifatkan kenyataan Hassan sebagai tidak tepat dan berpotensi menimbulkan kekeliruan awam terhadap peranan institusi kehakiman serta Raja-Raja Melayu.
“Sebagai seorang peguam, Hassan sepatutnya membaca dan memahami sepenuhnya penghakiman Hakim Alice sebelum membuat kesimpulan besar,” katanya.
Masih ada dua peringkat untuk Najib merayu
Walaupun keputusan Mahkamah Tinggi tidak memihak kepada Najib, beliau masih boleh membuat rayuan di peringkat lebih tinggi, iaitu Mahkamah Rayuan. Jika masih gagal, mereka juga boleh mengemukakan rayuan seterusnya di peringkat tertinggi, iaitu Mahkamah Persekutuan.
Najib kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, yang kemudiannya dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.








Comments
Post a Comment