Bung Moktar meninggal dunia
Media melaporkan sebentar tadi bahawa Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di Kota Kinabalu, Sabah. sebentar tadi.

Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.46 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles, lapor Berita Harian.
Perkembangan itu diumumkan oleh anak lelaki Ketua UMNO Sabah berkenaan, Naim Kurniawan Moktar menerusi hantaran di laman media sosial Facebook rasminya, sebentar tadi.
"Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).
"Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah," katanya dalam hantaran terbabit.
Terdahulu awal malam tadi, BH melaporkan Bung Moktar dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, pada tengah hari. Perkara itu disahkan Naim Kurniawan.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut punca bapanya dimasukkan ke hospital. Beliau memohon semua pihak mendoakan kesihatan bapanya itu.
Setakat ini tiada kenyataan rasmi mengenai masalah kesihatan yang dihadapi oleh Bung Moktar. Namun satu laporan media yang memetik kenyataan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin memaklumkan Allahyarham mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru.
Sebelum itu, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman meluangkan masa menziarahi Bung Moktar di hospital berkenaan pada jam 11.30 malam tadi. Beliau berada di situ kira-kira 20 minit.
Allahyarham Bung Moktar dilahirkan pada 14 September 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Sabah.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Bilit sebelum menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebelum bergiat aktif dalam politik, Bung Moktar berkhidmat sebagai pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Sandakan bermula dari tahun 1987 hingga 1990, sebelum menyertai Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada tahun 1990 hingga 1992.
Kemudian, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah dari 1994 hingga 1999.
Kerjaya politik Allahyarham bermula pada 1999 apabila beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan, jawatan yang disandangnya selama lebih dua dekad.
Pada tahun 2020, beliau turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya negeri dari 2020 sehingga 2023.
Bung Moktar juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi FELCRA Berhad dari 2013 hingga 2018.
Sepanjang penglibatannya dalam politik, beliau dikenali sebagai antara pemimpin UMNO Sabah yang lantang bersuara serta berpengaruh.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment