ADUN Bersatu MB Perlis yang baharu
Agensi berita rasmi Malaysia melaporkan semalam, Menteri Besar Perlis yang baharu Encik Abu Bakar Hamzah (gambar, atas) bertekad untuk mengekalkan persefahaman dalam kalangan barisan ADUN PN di negeri itu yang terdiri daripada PAS dan Bersatu.
Abu Bakar adalah ADUN dari Bersatu, namun Bernama tidak menyatakannya.
ADUN Kuala Perlis itu juga menyambut baik titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang mahu semua ADUN PN di negeri itu kembali bersatu dan bekerjasama sebagai satu parti demi kepentingan negeri dan rakyat.
"Tidak timbul isu sama ada PAS atau Bersatu lebih atau kurang baik. Apa yang penting saya ajak semua kakitangan awam negeri dan rakyat mendoakan agar Perlis setanding pembangunannya dengan negeri lain.
"Dari segi politik kita akan kekal dalam pasukan PN. PAS dan Bersatu adalah sebuah keluarga, apa juga perbalahan akan diselesaikan dalam masa terdekat dan saya amat berharap hubungan PN kekal baik hingga habis penggal," katanya.
Abu Bakar bercakap kepada pemberita selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis baharu di Bilik Hijau, Istana Arau semalam.
Abu Bakar berkata beliau juga akan meneruskan dasar serta hubungan baik kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan Perlis terus menerima bantuan sewajarnya untuk memajukan negeri itu.
Mengenai barisan Exco kerajaan negeri, beliau berkata pihaknya akan melakukan sedikit rombakan dan akan memastikan agihan portfolio adalah seimbang antara ADUN PAS dan Bersatu.
"Selepas selesai beberapa perkara akan diadakan rombakan Exco dan kita akan seimbangkan sebab PN adalah gabungan PAS dan Bersatu dan insya-Allah akan letakkan kesamarataan.
"Saya juga menjunjung kasih kepada Tuanku kerana memberi kepercayaan dan tanggungjawab yang besar kepada saya untuk menerajui kepimpinan kerajaan Perlis dan saya yakin adanya kawan-kawan (dalam pentadbiran negeri) dapat membantu meningkatkan pembangunan di Perlis," katanya.
Abu Bakar turut menyatakan penghargaan kepada bekas Menteri Besar Perlis Encik Mohd Shukri Ramli atas jasanya menerajui Perlis selama tiga tahun sebelum meletakkan jawatan secara rasmi pada 25 Disember lepas atas faktor kesihatan.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment