UMNO Terengganu kecewa kerajaan PAS lulus RM6.4 juta pinjaman untuk MB, Speaker, Exco, ADUN beli kereta
![]() |
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar Gambar Portal Rasmi Kerajaan Negeri Terengganu |
![]() |
| Datuk Nik Dir Nik Wan Ku, Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Terengganu Gambar Sinar Harian |
UMNO Terengganu menggesa kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyemak semula cadangan pinjaman berjumlah RM6.4 juta bagi membiayai pembelian kereta baharu untuk semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco kerajaan negeri.
Menurut laporan akhbar Sinar Harian semalam, Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dipetik sebagai berkata, keputusan itu bukan sahaja mencalarkan imej kerajaan negeri malah memberi gambaran seolah-olah kepimpinan sedia ada gagal memahami keutamaan rakyat.
"Dalam keadaan rakyat bergelut dengan tekanan ekonomi dan kekurangan peluang pekerjaan, tindakan kerajaan negeri meluluskan pinjaman rasmi bagi membeli kereta baharu untuk ADUN dan Exco amat mengecewakan.
"Rakyat menantikan berita gembira dalam pembentangan Bajet 2026, namun sebaliknya kerajaan lebih mengutamakan kemewahan wakil rakyat daripada mendahulukan kepentingan rakyat," katanya dalam kenyataan semalam, Rabu 12 November 2025.
Menurut beliau, langkah itu juga tidak memberi sebarang keuntungan kepada rakyat, sebaliknya menunjukkan kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat sebagaimana slogan 'Negeri Maju, Berkat dan Sejahtera'.
Nik Dir berkata, UMNO Terengganu mendesak supaya keputusan berkenaan disemak semula dan diperincikan agar dana terbabit dapat disalurkan kepada program yang lebih memberi manfaat kepada rakyat.
![]() |
| ADVERTISEMENT |
"Kerajaan negeri perlu kembali kepada prinsip mendahulukan rakyat, bukan keselesaan pemimpin.
"Dana itu lebih baik digunakan bagi memperkukuh pembangunan komuniti, memperluas peluang ekonomi untuk anak muda serta menambah baik projek asas di peringkat akar umbi," jelasnya.
Beliau menegaskan, rakyat kini mendambakan kepimpinan yang benar-benar memahami keperluan mereka, bukan yang hanya menitikberatkan kemewahan dan kepentingan sendiri.
"Negeri ini tidak akan maju jika keutamaan pembangunan rakyat diketepikan. Kerajaan perlu insaf dan menilai semula keputusan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri," katanya.
Terdahulu, tular Kertas Dewan Undangan Negeri bertarikh 29 Oktober 2025 yang menyatakan keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk meluluskan pinjaman kenderaan maksimum RM200,000 kepada Menteri Besar, Yang Dipertua DUN, Exco dan ADUN bagi tempoh empat tahun.
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa keputusan MMKN terdahulu bertarikh 11 Julai 1990 dan 5 Mac 1997 dibatalkan dengan pelaksanaan enakmen baharu tersebut.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.








Comments
Post a Comment