Susulan video tular lelaki ditendang, disimbah air di kaki lima bank, AmBank mohon maaf
Media tempatan melaporkan sebuah organisasi perbankan terkenal, AmBank hari ini memohon maaf susulan tularnya video di media sosial yang memaparkan seorang lelaki yang dipercayai gelandangan disimbah air dan ditendang di luar cawangan bank berkenaan di Taman Maluri, Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan, portal berita Malaysiakini melaporkan bahawa bank itu berkata pihaknya "amat prihatin dan sedih" dengan insiden tersebut, dan menegaskan bahawa keselamatan di sekitar premis bank itu adalah keutamaan mereka.
“Kami amat sedih dan prihatin dengan apa yang berlaku. Tiada individu wajar dilayan sebegitu rupa.
“Kami sedang bekerjasama dengan semua pihak berkuasa dan adalah matlamat kami bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang,” kata bank berkenaan.
Video itu memaparkan lelaki berkenaan yang sedang tidur di laluan pejalan kaki berhampiran cawangan bank itu disembur dengan air oleh seorang pengawal keselamatan, manakala seorang lelaki berasingan kemudian menendangnya.
Dia kemudian mencampakkan barang-barangnya dan menyimbah lelaki yang baru dikejutkan dari tidurnya terpinga-pinga.
TONTON VIDEO
Menurut AmBank, pengawal keselamatan dalam klip tersebut adalah pekerja penyedia perkhidmatan keselamatan luaran yang dilantik oleh bank itu, manakala lelaki kedua dipercayai seorang tukang kasut yang kurang senang dengan kehadiran gelandangan itu.
"Walau bagaimanapun, kami mengharapkan semua kakitangan yang mewakili bank kami, termasuk vendor dan rakan kongsi, untuk menegakkan tingkah laku profesional yang tertinggi," katanya.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.








Comments
Post a Comment