Tipu boleh bantu dapat gelaran Datuk Pahang, individu bergelar Datuk dihukum di Sabah
Badan terlalu gemuk dan status duda tertuduh antara hujah peguam merayu hukuman diringankan
Seorang ahli perniagaan didenda RM12,000 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Kota Kinabalu, Sabah semalam, Khamis 9 Oktober 2025, atas tiga pertuduhan menipu bagi mendapatkan gelaran Dato’ dari negeri Pahang, Sabah Media melaporkan.
Mahkamah Sesysen Khas juga menjatuhkan hukuman itu terhadap Datuk Ling How Ee, 40, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan alternatif yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah mengenakan hukuman denda masing-masing RM5,000, RM1,000 dan RM6,000, dan jika gagal membayar, tertuduh akan dipenjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Ling telah memperdayakan dengan secara tidak jujur mendorong Encik Dennis Chong supaya memindahkan wang berjumlah RM2,500; RM500; dan RM3,000 ke akaun bank milik tertuduh, kononnya bagi pembelian emas aksesori Baju Istiadat, untuk tertuduh membantu mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Dato’ dari negeri Pahang, sedangkan tertuduh ketahui ia tidak benar.
Kesalahan itu masing-masing dilakukan pada 19 April 2023, 20 April 2023 dan 17 Mei 2023 bertempat di HSBC Bank cawangan Kota Kinabalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan pemenjaraan selama tidak lebih lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, peguam Encik Ngui Kuang Kee @ George Ngui mewakili tertuduh memohon hukuman yang ringan memandangkan tertuduh telah mengaku bersalah selain merupakan kesalahannya yang pertama.
George berkata tertuduh adalah seorang duda dan masih menanggung kos pendidikan dan sara hidup anaknya.
Tambahnya, tertuduh tidak mempunyai pendapatan yang stabil dan juga mempunyai masalah obesiti.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Encik Norsham Saharom mengendalikan pendakwaan memohon agar hukuman yang wajar dikenakan ke atas tertuduh sebagai contoh dan teladan kepada masyarakat.
“Pihak pendakwaan menganggap kes ini adalah satu kes berkepentingan awam yang melibatkan anugerah darjah kebesaran oleh Istana,” katanya sambil memohon pertuduhan asal ditarik balik.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan pertuduhan asal terhadap Ling ditarik balik dan wang jaminannya dikembalikan.
Sebelum ini tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan mengaku tidak bersalah.
Menurut Sabah Media, tertuduh telah membayar denda.
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment