"Suara Keramat" Lim Guan Eng selamatkan arak dari diharamkan di dewan sekolah Cina
Fadhli mendakwa bukan rakyat yang menentukan arah negara tetapi “siapa yang paling kuat menghentak meja dalam mesyuarat kabinet"
Malaysiakini melaporkan bahawa Ketua Pemuda PAS Fadhli Shaari mendedahkan semalam beliau sangat gembira kelmarin sehingga “hampir bertakbir” dengan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengharamkan arak di sekolah.
Bagaimanapun, kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu, dia menarik balik “pujiannya” susulan keputusan jemaah menteri yang mengekalkan garis panduan sedia ada yang bermaksud arak boleh dihidangkan dalam acara yang menyewa dewan sekolah Cina.
Fadhli malah menyindir keputusan itu dibuat selepas “suara keramat” tokoh DAP Lim Guan Eng yang menempelak kenyataan Anwar sebagai “tunduk kepada golongan ekstremis”.
“Hebat sungguh kerajaan ini, boleh ubah dasar sesedap cita rasa pihak yang menekan.
“Macam minum teh tarik, kalau manis sangat, tambah air; kalau kena marah DAP, terus tukar resepi,” katanya.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan keputusan itu dalam sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya petang semalam.
Fahmi berkata bahawa amalan tertentu terpakai kepada sekolah Cina kerana sebahagian daripadanya mempunyai kemudahan yang dibina dan diselenggara sama ada oleh lembaga pengurusan sekolah atau swasta.
Menulis di media sosial petang semalam, Fadhli berkata isu arak “bukan soal ekstremis atau liberalis” tetapi soal asas, sama ada sekolah sebagai tempat menuntut ilmu wajar dijadikan ruang normalisasi budaya minum arak.
Fadhli juga mendakwa bukan rakyat yang menentukan arah negara tetapi “siapa yang paling kuat menghentak meja dalam mesyuarat kabinet”.
“Arak di sekolah? Hal kecil bagi mereka. Tapi bagi kita yang masih waras, ia tanda besar bahawa kerajaan ini sudah lama mabuk dengan kuasa dan takut hilang undi.
“Tahniah DAP. Tan Sri Yang Dipertua, saya tarik balik pujian itu, terima kasih,” katanya.
Kelmarin, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau berpendirian bahawa arak tidak dihidangkan di kawasan sekolah.
Kenyataannya dibuat sebagai tindak balas kepada isu yang dibangkitkan Fadhli mengenai penghidangan arak pada perhimpunan alumni baru-baru ini yang diadakan di Institusi St Michael di Ipoh.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.








Comments
Post a Comment