"Saya sudah dipersalahkan lama dalam bola sepak, sudah 13 tahun.."
![]() |
| Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berkenan hadir pada Sidang Media Pasukan Kebangsaan di sebuah hotel hari ini. Gambar BERNAMA |
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menegaskan bahawa segala kritikan yang dilontarkan segelintir peminat bola sepak tanah air tidak pernah menjatuhkan semangat baginda untuk terus membantu perkembangan bola sepak negara, akhbar Berita Harian melaporkan hari ini.
Ia termasuk ada yang menyalahkan Tunku Mahkota Ismail, yang juga dikenali sebagai TMJ, susulan isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan negara yang membawa kepada hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
"Saya sudah dipersalahkan lama dalam bola sepak, sudah 13 tahun, ia bukan perkara yang baru untuk saya," akhbar Berita Harian memetik baginda sebagai bertitah pada sidang media di Subang Jaya, hari ini.
![]() |
| Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, ketika Sidang Media Pasukan Kebangsaan di Subang Jaya. Gambar NSTP oleh MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI |
"Kalau ia membantu anda untuk tidur lena setiap malam dengan salahkan saya dalam isu (tujuh pemain warisan) ini, saya terima dengan hati terbuka."
Terdahulu, FIFA mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan dan denda CHF2,000 (RM10,560) terhadap tujuh pemain warisan termasuk Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.
Hukuman itu dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas mereka didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).
FAM bagaimanapun sudah mengemukakan rayuan kepada FIFA berhubung isu itu dan ketika ini sedang menunggu keputusan rayuan terbabit.
Meskipun hanya membantu pasukan kebangsaan dan tiada jawatan dalam FAM, Tunku Mahkota Ismail menjelaskan tujuan baginda berada dalam sidang media, hari ini adalah untuk memberi penjelasan selepas terdapat pihak yang menyalahkan baginda dalam isu tujuh pemain itu.
"Saya berada sini (sidang media) kerana ada suara yang mahu saya bertanggungjawab. Saya berada di sini kerana saya berasa terpanggil dan saya kongsi apa maklumat yang saya ada. Ramai yang minta nak dengar daripada saya sendiri, jadi saya di sini," kata Tunku Mahkota Ismail.
TMJ beri komitmen bantu FAM serta tujuh pemain warisan yang terpalit
Pada sidang media itu, TMJ juga menjelaskan bahawa baginda sedia berjuang dan membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan yang terpalit isu dokumentasi dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa nasib tujuh pemain itu harus diperjuangkan dengan FAM juga sudah mengambil langkah dengan mengemukakan rayuan kepada FIFA berhubung isu berkenaan.
Malah, Tunku Mahkota Ismail turut memaklumkan badan induk itu boleh membawa perkara itu ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) sekiranya rayuan mereka kepada FIFA tidak berjaya.
"Kalau FAM ingin saya bantu, saya sedia bantu dengan apa cara sekali pun. (Nasib pemain) itu bergantung kepada FIFA, kita tunggu keputusan FIFA dan saya fikir FAM pun mungkin akan bawa kes ini ke CAS.
"Hubungan saya dengan pemain amat rapat, dengan pasukan pun saya rapat termasuk di peringkat antarabangsa dan domestik. Sudah pasti mereka (tujuh pemain warisan) sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku.
"Namun, ia tidak mematikan semangat mereka untuk mewakili negara, itu yang mereka sampaikan kepada saya," kata Tunku Mahkota Ismail pada sidang media itu.
Bukan masa untuk menyalahkan sesiapa
Baginda turut menegaskan bahawa sekarang ini bukan masa untuk menyalahkan sesiapa dalam isu hukuman yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Tunku Mahkota Ismail menyifatkan tindakan menggantung Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman susulan daripada isu itu juga tidak sepatutnya berlaku.
Sebaliknya, baginda menjelaskan bahawa semua pihak yang terbabit harus bertanggungjawab dan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan kemelut itu.
"Saya tidak bersetuju. Secara jujurnya, saya rasa penggantungan terhadap Setiausaha Agung FAM tidak patut. Saya tidak setuju dengan tindakan itu.
"Bagi saya, semua pihak perlu memikul tanggungjawab ini. Termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (pasukan kebangsaan, Rob Friend) dan semua yang terbabit.
"Saya tidak berminat bermain 'permainan menyalahkan'. Kita di sini untuk mencari penyelesaian. Apa penyelesaian terbaik untuk pasukan kebangsaan? Saya tidak berminat untuk menyalahkan sesiapa, tetapi saya mahu cari jalan bagaimana kita boleh selesaikan perkara ini," kata Tunku Mahkota Ismail.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment