Penyiasatan: Rangkaian 263 tentera siber naikkan sokongan di FB Anwar
Siasatan Malaysiakini mendedahkan kewujudan rangkaian sekurang-kurangnya 263 akaun yang terlibat dalam kempen tersusun untuk secara palsu melonjakkan sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim di halaman Facebook rasminya.
Ia turut melibatkan akaun Facebook Syukur Aiman Shukri, yang merupakan seorang pemimpin Pemuda PKR peringkat negeri.
Penemuan ini dua tahun selepas Meta menamatkan satu lagi rangkaian berasingan melibatkan 600 akaun yang menjalankan manipulasi pro-kerajaan, yang dikaitkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Walaupun kedua-dua rangkaian itu beroperasi semasa pentadbiran berbeza, dan pihak polis telah menafikan penglibatannya, dapatan ini menunjukkan kaedah tidak autentik yang tersusun bagi membentuk wacana politik di Malaysia masih berterusan.
Pakar yang meneliti dapatan ini berkata coraknya jelas menunjukkan kegiatan astroturfing secara profesional – iaitu kempen untuk mewujudkan gambaran tidak benar tentang sokongan akar umbi.
“[Corak ini] petunjuk kuat kegiatan astroturfing, di mana sekumpulan kecil pelaku terancang cuba mewujudkan gambaran seolah-olah terdapat sokongan akar umbi yang meluas,” kata Nuurrianti Jalli, pakar propaganda dalam talian di Oklahoma State University.
Dalam tempoh tiga bulan, komen daripada rangkaian 263 akaun ini merangkumi hampir satu perempat daripada jumlah komen dalam hantaran Perdana Menteri yang disampel Malaysiakini.
Skrip yang sama
Jaringan ini bergantung kepada skrip yang telah disediakan, termasuk pujian umum seperti “bukti kerajaan Madani…” dan naratif khusus seperti “gaji minima RM1700”.
“Jika pengundi meneliti komen-komen, mereka biasanya hanya membaca lima hingga sepuluh yang teratas, dan komen-komen itu membentuk pandangan mereka,” katanya.
Operasi profesional
Bukti koordinasi tidak hanya pada penggunaan teks. Corak paling ketara ialah jadual kerja rangkaian ini.
Analisis terhadap lebih 6,000 komen menunjukkan waktu puncak aktiviti rangkaian ini adalah petang dan malam hari bekerja, dengan penurunan mendadak pada hujung minggu.
Sebaliknya, pengguna tulen media sosial menunjukkan corak berbeza, iaitu paling aktif pada waktu malam dan hujung minggu.
Jadual profesional ini disokong dengan struktur berkluster. Analisis rangkaian mendapati operasi ini dipecahkan kepada 27 kluster akaun berbeza yang kerap membuat hantaran dalam tempoh 10 minit yang sama.
Struktur ini menandakan kumpulan berasingan diaktifkan secara terancang dalam kelompok kecil, bukannya bertindak secara spontan.
Tidak sofistikated
Walaupun bukti menunjukkan ia adalah kempen profesional dan tersusun, pakar yang menilai dapatan berpandangan operasi itu sendiri bermutu rendah.
Analisis linguistik mendapati kosa kata akaun-akaun tersebut jauh lebih banyak berulang dan tidak pelbagai, berbanding pengguna asli di laman sosial itu.
Benjamin Loh, penyelidik yang membuat kajian berkenaan tentera siber di Malaysia, menyifatkan operasi ini sebagai “malas dan jelas sambil lewa”.
“Cybertrooper dahulu... jauh lebih mahir mempelbagaikan hantaran mereka,” katanya, dengan membandingkan rangkaian ini dengan operasi sebelum 2018 yang menurutnya lebih canggih.
Hubungan dengan PKR
Selepas data mengesahkan kewujudan rangkaian ini, siasatan lanjut telah mengenal pasti salah seorang pengendali sebagai Syukur, pengarah komunikasi Pemuda PKR Perlis.
Apabila dihubungi Malaysiakini, Syukur menafikan dirinya sebagai tentera siber dan berkata dia bertindak secara sendiri atas dasar sokongan yang tulen terhadap presiden partinya.
“Saya orang parti, bukan tentera siber,” katanya menerusi pesanan teks.
“Saya komen secara sendiri sebab saya orang parti, Perdana Menteri adalh presiden parti. Jadi bila dia buat benda baik, saya komen tanda sokongan,” katanya lagi.
Namun, dakwaan Syukur bahawa dia membuat komen atas kapasiti sendiri bercanggah dengan data akaunnya di platform.
Siasatan mendapati akaun Syukur menggunakan skrip sudah ditulis yang sama seperti yang digunakan rangkaian lebih luas dan turut terlibat dalam hantaran bersilang secara pantas.
Sebagai contoh, pada 23 Julai, akaunnya memuatkan enam komen pada lima hantaran berbeza dalam tempoh kurang dua minit, menggunakan frasa khas rangkaian itu.
Malah, data mengesahkan dia tidak bertindak sendirian. Akaunnya adalah sebahagian daripada salah satu kluster tersusun, kerap membuat hantaran dalam tempoh 10 minit sama dengan ahli rangkaian lain.
Tingkah laku ini – menggunakan skrip yang dikongsi dan membuat hantaran serentak dengan rangkaian lebih besar – bercanggah dengan gambaran sokongan spontan seperti yang dikatakannya.
Penafian dan penghapusan akaun
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan sebarang pengetahuan mahupun penglibatan dengan rangkaian ini, dan menyatakan tiada asas atau keperluan untuk mengarahkan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) menyiasatnya.
Dalam maklum balas kepada Malaysiakini, PMO turut menegaskan tiada dana awam digunakan, dan “baik kerajaan, kepimpinan parti, mahupun sayap pemuda tidak pernah mengeluarkan arahan atau menyediakan pembiayaan untuk operasi tersebut.”
PMO mengaitkan aktiviti itu dengan individu yang menggunakan kebebasan bersuara masing-masing.
Namun, penjelasan itu bercanggah dengan bukti penggunaan skrip sama, jadual kerja profesional, dan struktur kluster yang tersusun.
Malah, beberapa hari selepas pertanyaan Malaysiakini, sebahagian besar rangkaian itu dibubarkan. Sekurang-kurangnya 76 daripada 263 akaun (29 peratus) telah dipadam atau dinyahakses, termasuk 11 daripada 13 akaun berprofil tinggi yang ditandakan dalam dokumen yang dihantar ke Meta – termasuk akaun Syukur.
Tidak jelas sama ada Meta atau pihak rangkaian yang memadam akaun berkenaan. Bagaimanapun kedua-dua kemungkinan ini mengesahkan kegiatan tersusun yang tidak autentik.
‘Kesan terhadap demokrasi’
Pakar memberi amaran bahawa operasi seumpama ini, tanpa mengira skala atau tahap kecanggihannya, boleh menjejaskan wacana demokrasi.
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengingatkan yang tingkah laku ini boleh “memutarbelit persepsi sentimen awam, menenggelamkan suara berbeza, dan melemahkan keupayaan masyarakat untuk terlibat dalam perdebatan secara bermakna.”
Pandangan itu turut dikongsi Nuurrianti. “Ini memberi kesan terhadap bagaimana rakyat mentafsir perdebatan dalam talian dan kesihatan wacana demokrasi,” katanya.
Meta masih belum memberi respon terhadap pertanyaan Malaysiakini. Malaysiakini juga telah menghubungi beberapa pemimpin PKR untuk mendapatkan komen mereka berhubung perkara ini.
Analisis oleh Koh Jun Lin. Laporan tambahan oleh B Nantha Kumar dan Qistina Nadia Dzulqarnain.
Dimuat naik dari siaran portal Malaysiakini semalam, Selasa 30 September 2025.
Dimuat naik oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment