Penipuan dan data: Menyelusuri siasatan rangkaian CIB pro-Anwar
Malaysiakini semalam (Selasa 30 September 2025) mendedahkan kewujudan rangkaian 263 akaun yang terlibat dalam kempen tersusun untuk meningkatkan sokongan secara palsu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman Facebook rasminya.
Namun, untuk membuktikan kempen sebegini benar-benar merupakan operasi tidak autentik yang diselaraskan secara berpusat – dan bukannya sekadar hasil tindakan penyokong tegar – memerlukan lebih daripada sekadar sangkaan. Ia memerlukan kaedah pembuktian yang jelas dan teratur.
Laporan ini menjelaskan latarbelakang kes.
Latar belakang kes
Siasatan bermula menerusi lebih 25,000 komen orang awam. Langkah pertama ialah mencipta alat untuk mengenal pasti skrip bersama rangkaian tersebut.
Selepas analisis komputer mengenal pasti ribuan frasa berulang, pemilihan manual terakhir dilakukan untuk menghasilkan sebuah “pustaka boilerplate”.
Proses ini berpandukan satu prinsip konservatif: membezakan antara kata kunci topik umum dengan artifak linguistik khusus yang berulang, yang tidak mungkin dihasilkan secara bebas.
Sebagai contoh, walaupun ramai pengguna tulen mungkin menyebut tentang “batik” pada hantaran berkaitan acara Asean, analisis mengenal pasti frasa tepat lima perkataan “tgk delegasi asean pakai batik” digunakan berulang kali pada tahap yang menunjukkan skrip bersama, bukannya ungkapan spontan.
Dengan pustaka ini, satu piawaian tinggi ditetapkan untuk rangkai tersebut.
Sebuah akaun hanya dimasukkan ke dalam rangkaian tingkah laku tidak tulen terselaras (CIB) jika ia memenuhi dua kriteria serentak: menggunakan sekurang-kurangnya dua frasa daripada pustaka boilerplate dan melakukan “crossposting pantas” menyerupai spam.
Bagi membuktikan tingkah laku rangkaian ini benar-benar luar biasa, aktivitinya dibandingkan dengan kumpulan kawalan 171 pengomen aktif.
Walaupun analisis di platform tidak boleh mengetahui niat sebenar pengguna, kumpulan ini dijadikan proksi ketat untuk tingkah laku autentik kerana mereka langsung tidak menunjukkan isyarat khusus CIB yang direka untuk dikesan.
Nuurrianti Jalli, pakar maklumat palsu dalam talian di Oklahoma State University yang meneliti siasatan ini, mengesahkan pendekatan berlapis tersebut.
“Dengan memerlukan kedua-dua syarat (frasa boilerplate dan crossposting pantas), anda meminimumkan risiko tersilap menganggap tingkah laku penyokong biasa sebagai sesuatu yang lebih tersusun. Semakan lain yang dijalankan turut mengukuhkan kes ini,” katanya kepada Malaysiakini.
Bagi ketelusan penuh, Malaysiakini mengakui bahawa siasatan ini hanya bersandarkan data awam, tanpa akses kepada maklumat bukan awam seperti alamat IP yang hanya boleh diakses oleh Meta.
Tambahan lagi, siasatan lain mungkin menggunakan peraturan lebih longgar atau lebih ketat, atau memilih frasa berbeza untuk pustaka boilerplate, yang boleh menghasilkan senarai akaun sedikit berbeza.
Bagi membolehkan penelitian penuh, Malaysiakini menerbitkan keseluruhan set data lebih 25,000 komen dan perpustakaan boilerplate penuh.
Data ini telah dianonimkan selaras dengan amalan etika terbaik penyelidikan media sosial, dan sebahagiannya – seperti hantaran asal komen – dipadamkan bagi mengurangkan risiko pendedahan semula identiti.
Rangkaian artifisial, tersusun
Dengan rangkaian dan kumpulan kawalan ditentukan, siasatan seterusnya menganalisis sifat kolektif rangkaian. Hasilnya menunjukkan ia sebuah operasi yang tersusun dan artifisial.
Analisis bahasa dikenali sebagai ujian Type-Token Ratio (TTR), yang mengukur kepelbagaian kosa kata, mendapati bahasa rangkaian CIB adalah artifisial secara kuantitatif.
Kosa kata akaun ini jauh lebih berulang dan kurang pelbagai berbanding kumpulan “organik” dan pengomen biasa lain.
Penipuan ini diatur dengan sangat teratur.
Bagi memahami struktur dalaman rangkaian, siasatan memetakan akaun-akaun yang kerap membuat hantaran dalam jangka masa sama 10 minit.
Analisis mendedahkan rangkaian ini bukan gerombolan rawak, tetapi terbahagi kepada 27 kluster tersusun.
Struktur selular ini menunjukkan tanda jelas aktiviti terancang, di mana kumpulan akaun berbeza kelihatan digerakkan dalam kelompok serentak.
Anatomi penipuan
Bahasa tiruan ini biasanya digunakan melalui akaun palsu untuk nampak lebih meyakinkan.
Salah seorang pengendali rangkaian paling utama, dikenal pasti sebagai ‘User08812’, memberikan contoh jelas.
Dalam satu komen, akaun itu mendakwa sebagai “pelajar universiti” bagi memuji fokus kerajaan terhadap warisan Islam. Dalam komen lain, ia mendakwa “saya sendiri bekerja dengan pelabur asing” untuk memberi autoriti pada ulasan berkaitan pelaburan asing.
Kedua-dua dakwaan ini bercanggah dengan profil dirinya sendiri, yang menyatakan dia seorang jurutera sejak 2013.
Rangkaian ini juga kerap menggunakan bingkai agama untuk mengangkat mesej politik.
Benjamin Loh, penyelidik di Monash University Malaysia yang mengkaji cybertrooper Malaysia, berkata strategi ini bertujuan untuk “menyemai sokongan awam terhadap Madani bagi menunjukkan ‘rakyat’ menerima ia sebagai kerajaan konservatif yang lebih mengambil kira agama, bukannya ‘liberal’.”
Ujian dasar
Rangkaian 263 akaun ini beroperasi selama berbulan-bulan tanpa sebarang tindakan awam daripada Meta, menimbulkan persoalan tentang amalan moderasi kandungan platform itu.
Pakar berhujah bahawa platform itu mempunyai tanggungjawab asas untuk bertindak.
“Ross Tapsell dari Australian National University berkata, platform berkenaan boleh dianggap ‘bersubahat’ jika gagal bertindak kerana pengguna percaya kandungan di laman mereka kebanyakannya berguna dan boleh dipercayai.”
Seruan agar platform media sosial bertanggungjawab turut datang daripada kerajaan semasa.
Dalam mesyuarat pada April 2024 bersama syarikat media sosial, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil – yang juga Ketua Penerangan PKR – secara terbuka menggesa Facebook dan TikTok meningkatkan pemantauan dan “menyemak keberkesanan algoritma” bagi mengesan CIB.
Pendedahan rangkaian 263 akaun itu yang beroperasi selama berbulan-bulan pada 2025 bagi menyokong kerajaan kini meletakkan dasar itu dan tindak balas platform pada ujian sebenar.
Langkah Meta Seterusnya?
Kehilangan serentak 76 akaun selepas siasatan rasmi meletakkan tanggungjawab untuk penjelasan sepenuhnya kepada Meta.
Data dalaman platform, termasuk maklumat sulit seperti alamat IP, adalah kunci untuk mengenal pasti pengendali rangkaian ini dengan pasti.
Sebagai respons kepada pertanyaan Malaysiakini, Meta berkata semakan mereka “tidak menemui bukti pelanggaran terhadap polisi tingkah laku tidak tulen yang dikordinasikan” mereka.
Namun, kenyataan itu tidak menyentuh bukti skrip yang dikordinasikan atau pengelompokan masa yang ditemui dalam siasatan.
Ia juga tidak menjelaskan sama ada aktiviti ini melanggar polisi lain, seperti yang berkaitan dengan spam atau “tingkah laku tidak tulen”.
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) memberi amaran bahawa tingkah laku sebegini, jika tidak dibendung, boleh “memutarbelitkan persepsi sentimen awam, menenggelamkan suara berbeza, dan melemahkan keupayaan masyarakat untuk berdebat secara bermakna.”
Analisis oleh Koh Jun Lin. Laporan tambahan oleh B Nantha Kumar dan Qistina Nadia Dzulqarnain.
Dimuat naik dari siaran portal Malaysiakini hari ini, Rabu 1 Oktober 2025.
End©Permadu
Dimuat naik oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment