Cukup Sampai Di Sini Saja, kata Rafizi Ramli
Rafizi tak mahu jaga akar umbi parti dengan cara menabur duit
Akhbar Sinar Harian hari ini menyiarkan berita bahawa bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi bayangan bahawa beliau berkemungkinan tidak akan kembali ke barisan pimpinan parti pada masa akan datang.
Rafizi menerusi hantaran di Facebook berkata, adalah lebih baik sekiranya beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil jalan masing-masing yang berlainan.
Bekas Menteri Ekonomi itu turut menegaskan pendiriannya untuk sentiasa menyuarakan pandangan dalam isu berkaitan parti dan politik semasa.
“Cuma saya harap PKR dan pimpinan baharu yang ada ini cukup-cukuplah melatah dan meloncat setiap kali saya bagi pandangan.
“Keputusan itu telah dibuat oleh PKR, ramai pimpinan yang ada sekarang bersekongkol dengan keputusan itu.
“Apabila nasi sudah jadi bubur, adalah tidak matang untuk berharap saya akan telan bubur itu bulat-bulat seperti yang mereka kehendaki,” katanya pada Jumaat.
Mengulas berhubung hantaran berkaitan dakwaan cita-cita untuk mencabar Perdana Menteri, Rafizi berkata, kenyataan itu disifatkan sebagai versi baharu dalam cerita yang sama.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, pada awalnya, terdapat cubaan untuk menghasut penyokong Pakatan Harapan (PH) dan rakyat dengan dakwaan bahawa beliau tidak menjaga akar umbi.
“Bila saya berpendirian kalau menjaga akar umbi itu maknanya menabur duit, lantaklah kamu nak kata apa dan saya tidak akan terjebak.
“Kemudian ditukar kepada merajuk sebagai alasan untuk Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mencabar saya.
“Apabila saya letak jawatan dan dengan rela hati mengosongkan jawatan empuk kerajaan, walaupun ditawarkan menjadi Timbalan Presiden lantikan versi itu mati di situ sahaja,” ujarnya.
Kata Rafizi, tanggungjawab beliau terhadap rakyat ketika ini adalah untuk melihat masa depan politik yang lebih bersih dan bebas dari rasuah.“Insya-ALLAH, saya akan melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin. Yang selebihnya, lebih baik PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya ambil jalan masing-masing yang berlainan.
“Saya tidak nampak jalan yang akan membawa saya kembali ke dalam barisan pimpinan PKR pada masa akan datang,” kata beliau.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sum
bangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment