Tak payahlah Muhyiddin—Hamzah—Azmin berebut jawatan PM, PAS yang lebih layak, steady sahaja
Dari segi jumlah kerusi di dalam Dewan Rakyat, sudah tentu ahli Parlimen PAS lebih layak menjadi calon perdana menteri di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), berbanding Bersatu.
Walaupun calon perdana menteri tidak semestinya daripada parti yang mempunyai paling banyak kerusi di dalam Parlimen, perkembangan sebelum ini membuktikan perdana menteri berkenaan biarpun terpilih, tidak akan bertahan lama. Malah sentiasa berada di dalam keadaan goyah.
Sebagai contoh, Bersatu yang hanya menang 13 kerusi dalam PRU14, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya bertahan 22 bulan sebagai PM mewakili Pakatan Harapan.
Begitu juga Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, masing-masing menjadi perdana menteri ke-8 dan ke-9. Lebih singkat daripada tempoh Dr Mahathir menjadi PM.
Ini kerana mereka tiada fundamental untuk mengukuhkan diri, parti dan gabungan dalam kerajaan itu sendiri.
Sebab itu UMNO boleh bertahan sehingga 60 tahun. Perdana Menteri silih berganti dari parti itu kerana UMNO memiliki kerusi paling banyak dalam Dewan Rakyat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sebenarnya goyah kerani partinya PKR berada dalam keadaan sangat lemah. Sebab itu beliau tidak dapat melaksanakan Reformasi kerana dia sendiri sedang bergayut pada dahan yang rapuh. Kerajaan perpaduan yang dijenamakan sebagai Madani.
Oleh itu, tidak payahlah Muhyiddin, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berebut jawatan perdana menteri. Umpama burung terbang di langit sudah dipipiskan lada. Mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan.
Yang lebih sesuai berebut ialah di kalangan pemimpin PAS yang sekarang mempunyai 43 kerusi. Yang terbanyak. Lebih banyak dari DAP.
Sementara itu, Malaysiakini yang merujuk temubual Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dengan Malaysia Gazette semalam, di mana Muhyiddin menolak dakwaan bahawa gabungan itu sedang menubuhkan sebuah majlis eksekutif, yang dikhabarkan akan wujud bersama majlis tertingginya dan akan diketuai oleh timbalannya Hamzah Zainudin.
Dalam temu bual malam tadi, Muhyiddin mengesahkan ada cadangan sedemikian tetapi menegaskan PN tidak boleh mempunyai dua badan kepimpinan yang mentadbir gabungan itu.
"Majlis tertinggi masih kekal. Jadi soal majlis eksekutif tak berbangkit. Dia takkan ada majlis eksekutif dan majlis tertinggi. Tak boleh.
"Pasal walaupun ada cadangan, nampaknya tak ada perubahan. Kekallah dengan kedudukan majlis tertinggi di mana semua presiden parti duduk bersama-sama," kata Muhyiddin.
Bekas perdana menteri dan presiden Bersatu itu menjawab soalan berhubung khabar angin perpecahan dalaman PN, di mana Hamzah didakwa membuat langkah untuk menggulingkan Muhyiddin.
Ahli Parlimen Pagoh itu bagaimanapun menolak dakwaan bahawa Hamzah yang mencadangkan majlis eksekutif itu.
"Itu tidak betul," katanya.
Sebaliknya, Muhyiddin berkata gabungan itu bersetuju dengan cadangan daripada PAS untuk membentuk majlis presiden, yang bertujuan mengukuhkan PN.
Menurut Muhyiddin, majlis presiden akan dianggap sebagai titik rujukan terakhir untuk menyelesaikan isu dalam gabungan itu.
Ini termasuk pertikaian seperti perebutan antara parti komponen mengenai peruntukan kerusi semasa pilihan raya.
“Bila rundingan kerusi, maklumlah tiap-tiap parti tak nak bagi sama-mana. Lepas itu tak apalah, ada beberapa kita tinggal tiga, empat kerusi (yang belum selesai rundingan). Ini kita serahkan kepada empat presiden putuskan," katanya.
Pada Jun, media melaporkan bahawa PAS telah mencadangkan untuk penstrukturan semula PN dengan tujuan memberikan kuasa operasi yang besar kepada Hamzah, yang merupakan ketua pembangkang.
Di bawah cadangan perubahan itu, sebuah jawatankuasa eksekutif yang diterajui oleh Hamzah akan dibentuk untuk mengawasi operasi PN, manakala presiden PAS, Bersatu, Gerakan, dan Parti Rakyat India Malaysia akan mengekalkan peranan mereka dalam majlis tertinggi sedia ada.
Menurut sumber, langkah itu direka untuk meletakkan Hamzah sebagai calon perdana menteri PN, bersedia untuk mengambil tampuk kuasa jika gabungan itu menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan kemudiannya menolak laporan bahawa PN sedang disusun semula untuk memberi lebih kuasa kepada Hamzah.
Menurut ahli parlimen Kota Bharu itu, sebagai sebuah gabungan berdaftar, PN tertakluk kepada perlembagaannya.
Dia juga mendakwa perkara itu digembar-gemburkan untuk mengganggu kestabilan PN.
Lagipun, mengapa PAS hendak serah jawatan perdana menteri kepada Bersatu, sedangkan PAS jauh lebih layak.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment