Senyuman Manis Di Bulan September
Media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan berkaitan dakwaan syarikat milik bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador, yang sebelum ini dikaitkan dengan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Menurut Sinar Harian, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan selesai selepas Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada sebarang kesalahan jenayah dapat dikenakan terhadap mana-mana pihak.
"Kita telah memanggil semua pihak yang berkaitan dan merekodkan keterangan, termasuk daripada Sabah Mineral Management dan kerajaan negeri.
"Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya mendapati tiada kesalahan jenayah di bawah Akta SPRM 2009 atau Kanun Keseksaan, dan tiada isu tadbir urus, maka kes ini ditutup,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya hari ini, Selasa 9 September 2025.
Menurut Azam, siasatan berhubung isu berkenaan timbul selepas terdapat dakwaan bahawa syarikat berkaitan Farhash mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk meneroka mineral di Sabah.
Jelas beliau, ia bukanlah kelulusan daripada kerajaan negeri atau EXCO, sebaliknya hanya permohonan penerokaan mineral yang dibuat kepada Sabah Mineral Management.
"Sabah Mineral Management telah memberi kelulusan bersyarat kepada syarikat berkenaan pada Mac 2023, dengan syarat dokumen tertentu perlu dikemukakan.
"Namun, syarikat itu gagal memenuhi keperluan berkenaan dan akhirnya permohonan dibatalkan pada 21 Mac lalu," katanya.
Azam menegaskan, tiada aktiviti penerokaan dijalankan kerana syarikat terbabit tidak menyerahkan dokumen diperlukan.
"Ini bukan permohonan tanah seperti yang didakwa, tetapi permohonan penerokaan mineral melalui Sabah Mineral Management, dan ia tidak melibatkan kelulusan kerajaan negeri," katanya.
Terdahulu, nama Farhash Wafa Salvador menjadi perhatian susulan gesaan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadapnya.
Gesaan itu dikemukakan selepas timbul dakwaan bahawa sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash Wafa Salvador telah menerima kelulusan lesen cari gali arang batu seluas 70,000 hektar di Sabah.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berpendapat SPRM mempunyai asas yang mencukupi untuk menyiasat perkara berkenaan.
Menurut beliau, maklumat yang telah tular di media sosial menunjukkan kewujudan unsur yang wajar disiasat bagi memastikan ketelusan serta mengelakkan persepsi negatif terhadap kerajaan.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment