Fitnah tetap fitnah, tapi Ahli Parlimen DAP dapat diskaun sehingga 96 peratus!
Media tempatan melaporkan Ahli Parlimen Kepong Encik Lim Lip Eng (gambar atas) hari ini diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM75,000 sahaja berbanding jumlah asal RM2 juta kepada MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya, Datuk Seri Jessy Lai Cha Suang, dalam kes saman fitnah.
Bagaimanapun, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya yang terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Faizah Jamaludin, secara sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Lim telah memfitnah kedua-dua responden.
Ketika menyampaikan keputusan itu, Sequerah berkata jumlah ganti rugi sebanyak RM2 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah keterlaluan.
Seperti dilapor Harian Metro, panel itu turut mengurangkan jumlah kos yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes berkenaan iaitu daripada RM250,000 kepada RM50,000.
Pada 16 Mac 2023, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Lim membayar ganti rugi sebanyak RM2 juta kepada syarikat e-dagang itu dan Lai selepas membenarkan saman fitnah mereka terhadap beliau.
Lim telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada hari yang sama.
Sequerah berkata panel itu bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi bahawa perkataan yang dipertikai adalah fitnah dan telah mencemarkan reputasi responden.
Beliau berkata kenyataan Lim telah dibuat berdasarkan andaian dan mendakwa Lai telah memberi rasuah kepada pegawai kerajaan untuk mengelakkan tindakan penguatkuasaan.
"Defendan telah mengaku bahawa beliau tidak mendapatkan penjelasan daripada plaintif sebelum membuat kenyataan itu.
"Beliau juga gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk mengesahkan kebenaran.
"Ia adalah satu dakwaan serius yang telah menjejaskan reputasi plaintif. Oleh itu, tiada alasan untuk campur tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman plaintif," katanya.
MonSpace dan Lai diwakili peguam Encik Ivanpal Singh Grewal dan Encik Dhanesh Subramaniam Nair manakala Lim diwakili Datuk Sankara Nair.
Dalam saman yang difailkan pada Jun 2019, Lai berkata Lim telah mendakwa beliau menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur Cina.
Lai berkata kenyataan Ahli Parlimen Kepong itu, yang disiarkan dalam media berbahasa Inggeris dan Cina, membawa maksud beliau seorang yang tidak jujur.
Lai juga berkata Lim telah mengeluarkan kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 selepas ahli politik berkenaan membawa sekumpulan individu, yang didakwa sebagai pelabur MonSpace, ke pejabatnya sebelum membuat laporan polis terhadap beliau.
Beliau mendakwa kenyataan Lim telah memberi tekanan kepada pihak berkuasa termasuk polis, Bank Negara Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengambil tindakan terhadapnya.
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment