Tindakan mengikut saluran undang-undang tidak wajar dianggap zalim
Pengerusi penaja Urimai, Prof Dr P Ramasamy, membidas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan semakan undang-undang oleh Encik P Waythamoorthy terhadap keabsahannya sebagai ahli parlimen sebagai “kezaliman golongan minoriti”.
Menurut laporan Malaysiakini, bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu menegaskan apa yang dilakukan Waythamoorthy adalah melalui proses undang-undang dan tidak sama dengan serangan provokatif Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Dr Akmal Saleh.
"Bagaimana pula tindakan Waytha menggunakan saluran mahkamah boleh dianggap sebagai satu bentuk ‘kezaliman minoriti’?
“Mengapa Anwar perlu menggunakan sejarah silam Waytha untuk membingkai cabaran tersebut sedemikian rupa?
"Adakah mencabar perdana menteri secara automatik dikira sebagai kezaliman? Jika begitu, adakah blok pembangkang – PN – juga termasuk dalam label ini?” katanya dalam kenyataan pada Sabtu 16 Ogos 2025.
Pada hari sebelumnya, Anwar memberi amaran terhadap kezaliman, sama ada oleh kumpulan majoriti atau minoriti, susulan saman dikemukakan bekas menteri era PH itu. Ia dibuat bagi mempersoal keabsahan statusnya sebagai ahli parlimen dan perdana menteri.
“Seorang tokoh terkenal, yang kini sibuk mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, sebelum ini pernah mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah negara zalim (apabila) ribuan orang India (didakwa) dibunuh oleh polis dan mempersoalkan hak orang Melayu.
“Itu dari kumpulan minoriti… jadi, apabila saya beri amaran ini, ia bukan hanya kepada majoriti.
“Inilah yang saya maksudkan sebagai kezaliman minoriti, dan kita tidak akan bertoleransi (kerana kita) tiada toleransi terhadap sebarang bentuk perkauman dan fanatisme agama,” kata Anwar.
Perlu pentingkan kebenaran
Sebelum ini Waythamoorthy telah memfailkan saman pemula bagi mencabar keabsahan Anwar sebagai ahli parlimen dan juga perdana menteri.
Dalam ucapannya pada 15 Ogos, Anwar menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pihak yang menimbulkan kebencian ketika ketegangan meningkat susulan insiden bendera terbalik oleh pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang, yang menyebabkan Akmal mengadakan perhimpunan di luar premis tersebut.
Ramasamy berkata Waythamoorthy mengambil pendekatan demokratik dengan memohon penghakiman mahkamah berkenaan sama ada Anwar, walaupun menerima pengampunan penuh diraja pada 2018, dikecualikan daripada larangan lima tahun untuk bertanding dalam pilihan raya atau tidak.
Dia menegaskan bahawa jika Jabatan Peguam Negara (AGC) merasakan pengampunan diraja telah memadamkan sabitan lampau Anwar, maka tiada siapa perlu risau tentang semakan kehakiman sekarang.
Dalam hal berkenaan, Ramasamy berkata, perdana menteri tidak sepatutnya menggunakan istilah seperti “kezaliman majoriti” atau “kezaliman minoriti”, kerana ia boleh menimbulkan persepsi bahawa kerajaan beliau sedang diasak oleh kuasa luar kawalannya.
"Persoalan sebenar yang mesti Anwar hadapi adalah mudah: Adakah terdapat kebenaran dalam apa yang diperkatakan oleh Waytha?
"Jika ada, maka beliau harus mementingkan kebenaran semata-mata, bukan yang lain,” katanya.
Dua hari lalu, AGC berkata pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 menyatakan bahawa dia telah diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai individu yang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan.
Pada 2018, Agong ketika itu, Sultan Muhammad V, mengampunkan Anwar atas sabitan kes liwat yang dikenakan terhadapnya pada tahun 2015.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment