MCA dan MIC perlu tunjuk pendirian jelas dan tegas jika mahu tinggalkan BN
Janganlah bertindak seperti bermain tarik tali.
Hendak keluar BN buat cara hendak keluar. Kalau tidak mahu keluar buat cara tidak mahu keluar, biarpun terpaksa menelan segala layanan berelemen kehinaan yang diterima daripada kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bersabar sahajalah dengan kebisuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden UMNO dan pengerusi gabungan BN.
Di zaman BN memerintah sehingga 9 Mei 2018, bolehlah MCA dan MIC bermanjaan dengan abang besar UMNO. Kebanyakan kerusi dimenangi dalam PRU, samada MCA mahupun MIC kelihatan sangat bergantung kepada undi Melayu para penyokong UMNO.
Malangnya sekarang, UMNO sendiri menumpang nasib di dalam kerajaan Madani. Dan perkongsian itu memberi tujuh jawatan menteri kepada parti Melayu yang dibebani isu rasuah itu. Terlalu berlebihan daripada sepatutnya. MCA dan MIC dapat apa? Yillek.
Terlalu ketara MCA dan MIC umpama melukut di tepi gantang dalam BN dan juga kerajaan perpaduan, berbekalkan tiga kerusi. Kerana kerajaan perpaduan sudah ada 2/3 majoriti, 3 kerusi menjadi nampak macam tidak banyak.
Sudah tiba masanya, MCA dan MIC bertindak berani, tegas lagi jelas. Keluar BN atau sebaliknya. Keputusan berwibawa yang berani berdepan risiko akan mencerminkan kepimpinan berakauntabiliti kedua-dua parti berkenaan.
Keberanian terpimpin akan memberi kebaikan bersejarah kepada dua parti, masing-masing berasaskan kaum Cina dan India itu. Bunga bukan sekuntum, BN bukan seekor.
Sementara itu, portal bebas lagi lantang Malaysiakini semalam menyiarkan berita bahawa polemik tentang masa depan MIC nampaknya kini ‘berjangkit’ kepada satu lagi parti komponen BN yang signifikan kepada gabungan tersebut, iaitu MCA.
Kali ini, kata portal berita itu, seorang bekas pemimpin MCA membidas presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Pun begitu pada asasnya Ti Lian Ker membuat kenyataan tersebut untuk mengecam DAP, namun menggunakan ruang yang sama ‘menyiku’ Wee secara bersahaja.
Untuk menyampaikan maksud yang ingin disampaikannya, Ti membandingkan sikap Wee dengan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, yang dianggapnya berbeza pada ketika ini.
“Presiden MIC TS Vigneswaran telah bersuara mengatakan bahawa MIC akan mendekati dan terbuka kepada parti lain, tetapi Presiden MCA DS Wee Ka Siong masih berdiam diri,” katanya dipetik di Facebook.
Untuk rekod kenyataan bekas naib presiden MCA itu merujuk kepada laporan media yang menyatakan bahawa MIC sedang terbuka untuk memilih hala tujunya ekoran layanan yang diberikan kerajaan kepada mereka sekarang.
Berucap di majlis MIC Perak, Vigneswaran berkata, langkah itu diambil demi kesejahteraan masyarakat India di negara ini.
Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini MIC belum belum menerima jemputan daripada mana-mana parti atau gabungan lain, namun menyatakan sudah tiba masa untuk parti itu mengambil tindakan demi kepentingan mereka.
"Jadi saya telah memutuskan untuk membuka pintu perbincangan dengan pihak lain.
“Jika ia memberi manfaat kepada parti, saya akan lakukan apa sahaja yang perlu untuk masyarakat India," katanya.
Kedudukan selesa dalam sistem
MCA dan MIC sama-sama mempamerkan pencapaian tidak membanggakan dalam dua PRU lalu. MCA kini mempunyai hanya dua kerusi di Dewan Rakyat manakala Tapah menjadi satu-satunya kerusi yang dimenangi MIC.
Tiada mana-mana ahli parlimen kedua-dua parti diberikan jawatan dalam kabinet kerajaan perpaduan.
Bila berada dalam kerajaan, DAP dan MCA sama sahaja
Sementara itu dalam hantaran sama, Ti mengecam DAP dan menganggap reformasi yang dilaungkan oleh parti itu berkubur di depan pintu UMNO.
“Ingat lagi apabila pemimpin DAP menjeritkan penolakan mereka kepada ‘rasuah UMNO’ dulu?
“Hari ini mereka dengan sukarela berbaris ke Ibu Pejabat UMNO untuk taklimat kerajaan dan menghalalkan simbol-simbol yang pernah mereka tentang.
“Di mana integriti institusi yang dijanjikan DAP?
“DAP tidak mengubah sistem. Mereka hanya mencari tempat duduk yang selesa di dalamnya,” kata Ti.
Kenyataan itu merujuk kepada lebih 30 ahli parlimen DAP – termasuk pemimpin tertinggi parti terbabit seperti setiausaha agung Encik Anthony Loke Siew Fook, penasihat Encik Lim Guan Eng dan naib pengerusi Encik Chong Chieng Jen – menghadiri taklimat mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kuala Lumpur.
Sesi itu diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Ghani dan setiausaha agung Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Encik Chan Foong Hin, yang berada di majlis itu, dipetik sebagai berkata bahawa lawatan berkenaan menandakan kematangan politik dan mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kerjasama dwipartisan.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment