Ibrahim Ali beri 9 perkara lebih penting untuk Ketua Pemuda UMNO perjuangkan
Saya akrab dengan Allahyarham Harun Idris dan Syed Jaffar Albar semasa menjadi presiden Kesatuan Siswa Institut Teknologi MARA 1972-1974, kemudian sertai UMNO pada 1982 dan dipilih menjadi Exco Pemuda UMNO 1984-1987.
Saya pernah ditahan ISA pada 1987 untuk kali kedua perjuangan ketuanan Melayu yang digerakkan oleh Pemuda UMNO - semasa Najib Razak menjadi pemangku ketua Pemuda UMNO - terhadap MCA yang persoal ketuanan Melayu.
Nostalgia dan semangat ini mendorong saya meluahkan pandangan ini.
Saya ucap tahniah kepada Ketua Pemuda UMNO yang tampil dengan keberanian isu stokin KK Mart dan bendera terbalik.
Malangnya, keberanian itu hanya terhad di gelanggang luar kerajaan dengan individu atau sesiapa yang hina Islam, Melayu dan kedaulatan negara seperti pasang bendera terbalik.
Dalam isu besar seperti integriti kerajaan, rasuah, keadilan, ekonomi rakyat, Pemuda UMNO membisu. Tidak sama dengan Pemuda UMNO zaman Dato’ Harun (pendesak) dan Syed Jaffar (air halia).
Pemuda UMNO patut angkat dan terjah isu-isu besar yang merupakan nyawa rakyat dan negara seperti berikut, sebagai contoh:
1. Skandal LCS RM11 bilion tapi kapal satu pun belum siap dan jerung politik, atau orang-orang kebal kenyang. Isu ini sudah senyap walaupun billion sudah dibayar. Banyak lagi isu seperti isu Kementerian Pertahanan yang mana YDP Agong sudah bertitah dan murka.
2. Pencen RM1.7 bilion bagi pesara tentera, tetapi hak mereka terus dinafikan. Mahkamah sudah putuskan.
3. Rasuah, kronisme dan salah guna kuasa yang membunuh demokrasi.
4. Ekonomi rakyat terhimpit, gaji tak naik, cukai bertambah.
5. Isu Farhash Wafa Salvador jadi "billionaire segera" sedangkan rakyat susah.
6. Kampung dan tanah Melayu diroboh, gerai kecil Melayu dilayan seperti penjenayah.
7. Naik taraf mahkamah syariah, pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, meletakkan Suruhanjaya Rasuah Malaysia di bawah Parlimen, semua tergantung.
8. Kes Yusoff Rawther dan isu pendidikan yang bercanggah dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan dan banyak lagi isu yang melanggar asas perlembagaan negara serta isu keadilan rakyat yang dipandang sepi.
9. Subsidi yang menjadi hak rakyat terutama diesel dan petrol serta pelbagai cukai baru yang menyebabkan kos sara hidup rakyat tertekan dengan teruk.
Banyak lagi isu yang kini Malaysia berada seperti telur di hujung tanduk.
Peranan sebenar Pemuda UMNO bukan isu seperti KK Mart atau bendera, yang sepatutnya boleh diserahkan pada NGO untuk bertindak.
Pemuda sepatutnya jadi semak imbang kerajaan sendiri, berani menegur dan mendesak kerajaan seperti Pemuda Pendesak atau Air Halia, dan bukan sekadar jadi kucing jinak yang menerkam tikus-tikus jahat di luar rumah.
Sejarah akan membezakan: pemimpin yang hanya berani setakat isu selamat akan dikenang sementara. Yang berani di medan sebenar dengan isu-isu besar rakyat akan dikenang sepanjang zaman.
Pastinya Pemuda UMNO akan mendapat sanjungan rakyat serta boleh menampung kecederaan politik UMNO apabila langgar sumpah "No Anwar No DAP".
Adaptasi dari hasil nukilan Ibrahim Ali (gambar atas sekali). Beliau yang berusia 74 tahun ialah seorang aktivis veteran dan presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Dipetik dari siaran MalaysiaNow bertarikh semalam, Khamis 21 Ogos 2025.
End©Permadu
Adaptasi oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment