Pahang berdepan risiko ditimpa bala, malapetaka yang dahsyat
Mengapa sejak 40 tahun dulu kerajaan BN tak halang mereka tanam durian, baru sekarang nak musnahkan tumbuhan makhluk Allah?
Tindak-tanduk kerajaan negeri Pahang memusnahkan beribu batang pokok durian yang sudah matang berbuah, hingga ada yang sudah berumur 40 tahun, dari satu segi memperlihatkan ciri-ciri takbur, bongkak, kejam dan amat mendukacitakan.
Ini tidak bermaksud Permadu Malaysia menggalakkan aktiviti penerokaan tanah secara haram, tetapi kami melihat semua ini terjadi akibat angkara onar yang dicipta oleh kerajaan BN sendiri yang memerintah negeri itu sejak merdeka hingga sekarang.
Kalau kamu cekap dan jujur serta tidak cuai dari dahulu, sudah tentu penerokaan haram ini tidak akan terjadi.
Walaupun tiada bukti amalan rasuah di kalangan anggota kerajaan dan pihak berkuasa telah berleluasa di negeri ini sejak lebih 60 tahun yang lalu, sukar untuk menepis bahawasanya, ia amat kelihatan seperti itu.
Mengapa 40 tahun dahulu kerajaan BN tidak menghalang mereka menanam durian secara haram, baru sekarang hendak musnahkan tumbuhan makhluk Allah?
Mungkin ada pihak yang tidak suka jika saya berkata penjahat yang sebenar adalah kerajaan BN itu sendiri! Saya tidak mahu memendam. Saya terpaksa meluahkannya dengan ikhlas.
Bagi saya, perbuatan memusnahkan tumbuhan makhluk Allah di muka bumi milik Allah adalah dengan terang mengundang kemurkaan Yang Maha Esa, seterusnya negeri ini berhadapan risiko ditimpa bala dan malapetaka yang dahsyat.
Sudah tentu orang Pahang khususnya tidak mahu bencana beraneka rupa melanda negeri ini, satu demi satu.
Justeru, kerajaan negeri diseru mencari formula lebih bijaksana untuk menangani masalah ini.
Jika kerajaan BN ketandusan idea untuk menciptanya, maka upahlah pakar formula Datuk Seri Rafizi Ramli untuk merekacipta formula terkini.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Save Musang King Alliance (Samka) mengumpul sekitar 400 tandatangan dalam masa kurang tiga jam hari ini untuk petisyen bagi menuntut supaya operasi penebangan pokok durian oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) di tanah yang menjadi pertikaian, dihentikan.
Menurut penasihat Samka yang juga Ahli Parlimen Raub Encik Chow Yu Hui, petisyen itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Pahang Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah.
“Lebih 1,000 pokok durian Musang King telah dimusnahkan menggunakan jentolak dalam operasi penguatkuasaan berskala besar yang berlangsung sejak tiga hari lalu.
“Banyak pokok tersebut berusia lebih 40 tahun, dan merupakan hasil penat lelah seumur hidup para pekebun,” kata Chow dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, diberitakan telah berlaku pertembungan antara pekebun durian di Raub dengan anggota UPNP ketika pihak penguat kuasa sedang menebang pokok Musang King di tanah yang menjadi pertikaian yang terletak berhampiran Sungai Klau.
Pada 9 April lalu, media melaporkan sekumpulan pekebun durian mendakwa kerajaan Pahang telah melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King.
Bagaimanapun, kerajaan Pahang menafikan pihaknya melanggar perintah mahkamah. Penasihat Undang-undang Pahang Datuk Saiful Edris Zainuddin berkata pokok-pokok tersebut berada di atas tanah yang diceroboh secara haram, dan justeru tidak dilindungi oleh perintah mahkamah.
Mahkamah Rayuan juga telah menolak permohonan pekebun untuk menangguhkan perintah pengusiran atas alasan pemohon tidak mengikut prosedur undang-undang yang betul, kata Saiful lagi, sambil menegaskan tanah berkenaan adalah milik kerajaan.
Hari ini, Chow berkata pekebun durian di Raub mengemukakan tiga tuntutan utama, iaitu operasi penebangan pokok dihentikan serta-mera, rundingan diadakan antara kerajaan negeri dan para pekebun dan alternatif pengusiran yang adil dan mampan serta tanpa kekerasan.
Beliau turut menegaskan bahawa isu “kebun haram” ini merupakan isu negara yang melibatkan puluhan ribu pekebun yang bekerja di atas tanah yang tidak mempunyai hak milik.
“Pekebun bersedia untuk membayar cukai tanah, sewa atau bayaran munasabah lain mengikut undang-undang. Namun, permohonan mereka untuk mendapatkan lesen selama bertahun-tahun telah diabaikan.
“Oleh itu, mereka menggesa kerajaan negeri untuk mengadakan perbincangan meja bulat dengan para pekebun bagi mencari penyelesaian menang-menang yang membolehkan mereka terus menyumbang kepada sektor pertanian negara dan ekonomi tempatan,” katanya.
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment