Belum sempat siasat dakwaan salah laku rasuah Nurul Izzah Anwar, pengkritik dipanggil SKMM

Pengkritik merangkap penyiasat persendirian mendakwa berkemungkinan terdapat unsur salah laku rasuah dilakukan oleh bekas ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar. Dipercayai disebabkan cuba mensensasikan perkara ini, beliau dipanggil SKMM untuk disoal siasat.

Portal berita lantang mengkritik kerajaan Madani, pada masa sama pro-Perikatan Nasional, melaporkan hari ini bahawa seorang pengkritik yang kerap membongkar butiran berkenaan salah urus kerajaan dan korporat telah membidas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas dipanggil untuk disoal siasat berkenaan tawarannya mahu menyiasat anak sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti mana beberapa ahli politik lain disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan rasuah.

Encik Aliff Ahmad (gambar, atas sekali), pengasas bersama SCRUT, platform yang membantu orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan syarikat kereta terpakai, dipanggil SKMM selepas hantarannya mahu "scrut" Puan Nurul Izzah Anwar, iaitu istilah yang membawa maksud membongkar pelbagai butiran dan tindakan seseorang sekiranya terdapat salah laku, menurut portal berkenaan, MalaysiaNow.

Dalam hantarannya semalam, Aliff berkata akan menyiasat Nurul Izzah sekiranya hantaran itu mencapai 20,000 perkongsian.

"Ramai pula minta SCRUT Nurul Izzah. Dia kerja apa? Mana dia dapat duit untuk hidup dan berpolitik? Ada berniaga apa? 20,000 perkongsian (shares) hantaran ini. Aku buatkan. Itu harganya. Korang buat keputusan," tulisnya.

Beberapa jam kemudian, beliau menerima notis mengarahkannya hadir ke pejabat SKMM di Cyberjaya itu pada jam 8 malam tadi untuk disoal siasat di bawah Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia, yang memberi kuasa kepada pegawai SKMM untuk memanggil mana-mana individu bagi tujuan soal siasat, di mana waran mahkamah boleh dikeluarkan sekiranya gagal hadir.

Bagaimanapun, Aliff berkata beliau tidak dapat hadir semalam kerana "ada hal".

"Aku tak boleh datang. Aku suruh pagi esok diorang pergi jumpa majistret tunjuk hantaran aku, minta waran tangkap. Buatlah dokumen sikit malam ini. Esok ngadaplah majistret," tulisnya malam tadi.

Difahamkan Aliff hadir di SKMM pagi tadi.

Beliau mempersoalkan SKMM yang menurutnya "beriya nak siasat".

"Walhal di luar sana berapa banyak hantaran, video atau gambar yang jelek, jijik, lucah, dan dahsyat yang terang-terangan melanggar undang-undang dan akta komunikasi dan multimedia yang patut disiasat," katanya.

Aliff berharap beliau akan didakwa di mahkamah supaya dapat mendengar hujah terhadapnya.

"Kalau tak dakwa, maksudnya apa?"

Aliff sebelum ini membuat beberapa pendedahan membabitkan pemimpin PKR, termasuk siasatan terperinci terhadap Invoke, syarikat yang ditubuhkan Datuk Seri Rafizi Ramli untuk membantu kempen pilihan raya PKR. 

Beliau turut pernah menyasarkan Anwar, timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan pemimpin DAP Encik Lim Guan Eng.

Pada Februari, Aliff melakukan siasatan terhadap beberapa syarikat yang dinamakan oleh Menteri Pengangkutan Encik Anthony Loke untuk memecahkan monopoli Puspakom, syarikat yang menjalankan pemeriksaan kenderaan bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan, di mana beliau memberi amaran monopoli Puspakom akan digantikan oleh oligopoli yang diwarnai kronisme dan syarikat ala "Alibaba".

Awal bulan ini, beliau mendedahkan butiran membabitkan Pengerusi PKR Perlis Datuk Amin Ahmad yang juga pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia, sebuah syarikat di bawah Kementerian Pendidikan.

Menurut portal pro-pembangkang ini, Amin, yang isterinya merupakan pengarah urusan sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional, menafikan tuduhan kronisme terhadapnya sambil mengancam tindakan undang-undang terhadap Aliff.

Tindakan terbaru SKMM terhadap Aliff mencerminkan pelbagai sekatan suruhanjaya itu terhadap hantaran media sosial yang mengkritik pentadbiran Anwar, di mana  platform seperti X, YouTube dan Facebook diminta menurunkan kandungan, kata MalaysiaNow.

Statistik oleh TikTok untuk tahun 2023 menunjukkan kerajaan Malaysia paling banyak membuat permintaan menurunkan kandungan.

MalaysiaNow juga mendakwa kerajaan telah menyekat blog dan laman berita yang menyiarkan laporan yang tidak disenangi pemimpin kerajaan, termasuk portal itu sendiri, yang pernah disekat selama 48 jam pada Jun 2023.

Sekatan ke atas laman media yang mengkritik kerajaan menyaksikan Malaysia jatuh daripada tempat ke-73 kepada 107 dalam Indeks Kebebasan Media 2024.

Dari sudut tertentu, sekatan seperti ini dipercayai dilakukan kerajaan atas faktor kestabilan politik dan usaha pengukuhan kuasa Madani. Tanpa kuasa, bagaimana Anwar dan rakan-rakan dapat melaksanakan reformasi?

End©Permadu

Oleh Fauzi Kadir
Ketua Pengarang

Penolong Pengarang
Jamaliah Mohd Salleh


Suntingan terakhir dan dibawa kepada anda oleh
Fauzi Kadir KETUA PENGARANG

© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
E-mel: permadu@gmail.com

DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG 

Akaun bank rasmi dan diberi kuasa bagi pihak Permadu Malaysia
Fauzi Bin Abd... 7600650948 CIMB Bank

Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.

Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.

Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Mengapa tidak Sultan Pahang sendiri mengklarifikasi baginda ada bertitah addendum atau pun tidak

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim

Boss Wanita Kastam bercuti ke Bangkok pakai duit sendiri

Berita setiausaha politik Ismail Sabri dijumpai bersama wang tunai RM150 juta belum dapat disahkan

Laporan polis Perkasa berunsur sindiran kepada Raja-Raja Melayu?

Sultan Ibrahim tidak akan melayan sama sekali mereka yang melobi untuk mendapat gelaran Tan Sri, Datuk

Imam, son and religious officer arrested — Alleged RM1.2m corruption involving marriage registration in Perlis

Kesian Ismail Sabri, bila dah kelihatan kantoi, semua rakan "se-projek" dari UMNO-BN-PN membisu, hilang entah ke mana

The 5 ringgit corruption in Johor Bahru Immigration Department?

Antara yang pernah dikejarkan ke hospital