Setelah diasak SPRM dengan berbagai soalan selama 5 jam, Ismail Sabri akan dipanggil lagi
Tunggu tahap kesihatan beliau bertambah baik
Akhbar popular Bahasa Melayu berjaya menghubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan akan memanggil semula bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah serta pengubahan wang haram.
Menurut sumber, SPRM telah mengambil keterangan Ahli Parlimen Bera itu pada minggu lalu, kata akhbar itu, iaitu Sinar Harian.
Menurut Malaysiakini pula, sebelum dikejarkan ke hospital, Ismail Sabri disoal siasat selama lima jam pada 18 Februari.
“Ia hasil maklumat yang diterima dan risikan terbaharu, SPRM telah memanggil serta menemuduga beliau (Ismail Sabri) selama kira-kira lima jam bagi membantu siasatan.
“SPRM tidak menolak kemungkinan akan memanggil semula beliau, namun ia bergantung pada masa dan keadaan, terutama tahap kesihatannya,” akhbar itu memetik makluman sumber itu hari ini, Sabtu 1 Mac 2025.
Sebelum itu, empat bekas pegawai termasuk dua individu bergelar Datuk yang mempunyai kaitan dengan Ismail Sabri telah direman oleh SPRM pada 21 Februari lalu kerana disyaki terbabit dalam rasuah.
Pegawai wanita turut ditahan
Selain itu, seorang pegawai eksekutif sebuah yayasan dan seorang wanita yang juga pembantu kepada seorang pegawai khas terbabit turut ditahan oleh agensi antirasuah tersebut.
Penahanan itu dilakukan SPRM mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Berikutan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dalam kenyataan pada Khamis lalu, dilaporkan berkata bahawa lapan lagi saksi akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung penahanan empat pegawai bekas Perdana Menteri ke-9 itu.
Difahamkan, beberapa kes sedang disiasat oleh SPRM ketika ini, antaranya membabitkan perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment