Muhyiddin nasihat pemimpin PN semak fakta sebelum bercakap
Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tiada arahan melarang mana-mana pemimpin parti komponen itu bersuara, susulan kenyataan terbaru dibuat Pesuruhjaya PAS Perak, Encik Razman Zakaria terhadap Menteri Belia dan Sukan, Puan Hannah Yeoh yang mencetuskan kontroversi.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, mengingatkan semua pemimpin PN tentang keperluan menyemak fakta sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Tiada perkara seperti arahan larangan bersuara, tetapi saya mengharapkan ahli Perikatan memastikan bahawa apabila mereka bercakap, mereka menyemak fakta terlebih dahulu dan (kenyataan itu) tidak sepatutnya menimbulkan masalah yang tidak perlu.
“Saya tidak memihak kepada sesiapa. Tambahan pula, dalam musim Tahun Baharu Cina ini, kita perlu menekankan perpaduan nasional dan pemahaman yang lebih baik antara kaum di Malaysia,” Malaysiakini memetik Muhyiddin sebagai berkata kepada wartawan ketika sambutan Tahun Baru Cina anjuran Gerakan di Kuala Lumpur semalam.
“Ini adalah masa untuk rakyat Malaysia kembali bersatu dan negara ini adalah untuk semua. Selagi kita warganegara Malaysia, kita harus menghormati sentimen satu sama lain – ini adalah cerminan Perikatan bahawa kita adalah masyarakat berbilang kaum,” tambahnya.
Pada Isnin lalu, Razman memohon maaf kepada Hannah dan menarik balik dakwaan yang dibuat dalam satu ceramah baru-baru ini, yang mendakwa Ahli Parlimen Segambut itu adalah “anak kepada YTL”, merujuk kepada pengasas YTL Corporation Berhad, Tan Sri Yeoh Tiong Lay.
Bagaimanapun Yeoh berkata Razman tetap perlu menunggu surat daripada peguamnya berikutan pemimpin PAS itu turut membuat dakwaan lain yang berunsur fitnah terhadapnya dalam ucapan yang sama.
Terdahulu hari ini, Razman membuat laporan polis terhadap akaun parodi Facebook "Harakat Daily HD" yang mendakwa dia mempertahankan tuduhannya terhadap Hannah.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2024 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment