Mewakili suara rakyat, Najib bertanya mengapa Zeti dan keluarga kebal dari tindakan undang-undang
Takkan Najib seorang je yang kena...
Najib diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi membela diri atas tuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar NSTP oleh Hairul Anuar Rahim |
Media melaporkan mantan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan terhadap bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya bersabit skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut Berita Harian, Najib menegaskan tiada pendakwaan dibuat terhadap Zeti atau suaminya, Datuk Dr Tawfiq Ayman, yang menerima jutaan dolar daripada ahli perniagaan dalam buruan Encik Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Menurut Najib, tiada tindakan diambil walaupun perkara mengenai salah laku oleh keluarga Zeti didedahkan melalui keterangan bersumpah bekas rakan kongsi Goldman Sachs, Encik Tim Leissner.
Leissner menjadi menjadi saksi utama dalam perbicaraan jenayah bersubahat membabitkan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, Encik Roger Ng, yang juga bekas rakan kongsinya, di Mahkamah Persekutuan Brooklyn.
Najib berkata, menurut keterangan Leissner, Tawfiq telah memanfaatkan kedudukan isterinya untuk memudahkan kelulusan pemindahan semalaman (overnight) berjumlah AS$1 bilion, namun tiada tindakan diambil terhadap Zeti mahupun suaminya.
Menurut Najib, perbicaraan itu mendedahkan bahawa atas arahan Jho Low kepada firma guaman multinasional, Sherman dan Sterling dan seterusnya kepada Iron Rapsody Ltd, akaun yang dimiliki oleh Tawfiq telah menerima masing-masing AS$6,250,000 dan AS$732,234 pada 17 Disember 2019 dan 21 Mei 2010.
Katanya, ia juga mendedahkan Jho Low mengarahkan Asset Central Holding, iaitu sebuah syarikat yang dimilikinya untuk memindahkan AS$1,250,000 pada 18 Disember 2009, kepada Iron Rapsody.
"Sehingga kini, tiada tindakan diambil terhadap Tawfiq atau Zeti walaupun terdapat bukti jelas pembabitan mereka.
"Sebaliknya, saya dipilih sebagai individu tunggal yang diburu secara agresif oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Perbezaan yang ketara ini menggariskan agenda pendakwaan politik yang disengajakan dan disasarkan terhadap saya," katanya.
Najib berkata, beliau terkejut dengan pendakwaan terpilih, yang disifatkannya sebagai 'sengaja membutakan mata' walaupun hakikatnya Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) mendapati transaksi itu begitu membimbangkan sehingga mereka memaklumkan BNM.
Najib berkata demikian ketika membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment