Dakwaan jenayah dan Yussof Rawther saman Anwar Ibrahim kerana gangguan seksual, dua perkara berbeza
![]() |
Imej didapati di Facebook, dipercayai dari mereka yang tidak menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. |
Bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur semalam atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, dalam kenderaan dinaikinya minggu lalu.
Muhammed Yusoff, 31, yang memakai baju T berwarna hitam dalam keadaan bergari, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret S Arunjothy.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 305 gram di kawasan tempat letak kereta hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada jam 10.15 pagi pada 6 September lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman sementara tertuduh diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 November depan untuk laporan kimia berhubung kes tersebut.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan penahanan Muhammed Yusoff berhubung penemuan dua pistol tiruan dan ganja.
Susulan itu beliau berkata, suspek ditahan reman selama enam hari sejak Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Mahkamah Tinggi di ibu negara sebelum ini, menetapkan perbicaraan penuh berhubung saman Muhammed Yusoff terhadap Anwar berhubung dakwaan serangan seksual terhadapnya akan bermula pada 16 Jun tahun depan.
Pada 14 Julai 2021, dia memfailkan saman mendakwa telah diserang Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu secara seksual pada Oktober 2018, beberapa hari sebelum Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson.
Kelmarin pula, media melaporkan Muhammad Yusoff Rawther yang menyaman Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung serangan seksual akan dihadapkan ke mahkamah jenayah pada Khamis..
Menurut Malaysiakini, bekas pembantu penyelidik Anwar itu dijadualkan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, selepas siasatan terhadap dakwaan pemilikan senjata api dan dadah, maklum peguamnya Muhammad Rafique Rashid Ali.
Peguam itu berkata butiran tuduhan akan diketahui pada hari dia didakwa.
Bekas pembantu Anwar itu ditahan sekitar jam 9.30 pagi pada 6 September dan telah direman sejak itu.
Rafique berkata polis didakwa menemui dua pucuk pistol dan 305g dadah dalam kenderaan yang didakwa dinaiki oleh Yusoff.
Terdahulu Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan penahanan Yusoff mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“(Dia) dijangka akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok (Khamis),” katanya.
Menurut Rusdi polis menahan Yusoff selepas menemukan dua pucuk pistol dipercayai tiruan dan satu ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja, di dalam kenderaan dinaiki suspek di Jalan Bukit Kiara, di Kuala Lumpur, Jumaat lepas.
Dalam perkembangan berkaitan, Rafique berkata Yusoff memberitahu penyiasat senjata api dan dadah itu bukan miliknya dan dia tidak ada kaitan dengan bahan larangan tersebut, malah ujian air kencingnya menunjukkan keputusan negatif.
Peguam itu berkata Yusoff memberitahu pihak polis senjata api dan dadah itu diletakkan di dalam keretanya oleh pihak yang mempunyai dendam atau permusuhan dengannya.
"Dia telah menamakan mereka yang dipercayai bertanggungjawab dan kaitan mereka dengan kepimpinan politik negara.
"Yusoff telah menulis surat untuk memohon kebenaran membuat laporan polis mengenai perkara ini, dan ini perlu dilakukan secepat mungkin untuk mengelakkan ia dianggap sebagai tindakan 'terlewat' atau rekaan," kata Rafique.
Yusoff mempunyai tuntutan sivil yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung dakwaan Anwar menyerangnya secara seksual di pejabat presiden PKR pada Oktober 2018.
Bekas pembantu penyelidik itu menjadi tumpuan apabila dia mendedahkan akuan bersumpah yang mengandungi dakwaan serangan seksual tersebut pada sidang media 4 Disember 2019.
Tiga belas hari kemudian, Yusoff pergi ke Bukit Aman untuk menjalani ujian poligraf berhubung siasatan polis terhadap dakwaannya mengenai salah laku seksual Anwar.
Pada 14 Januari 2020, Jabatan Peguam Negara mengumumkan tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar di mahkamah jenayah atas kejadian yang didakwa berlaku dua tahun sebelum itu. Setahun kemudian, Yusoff menyaman Anwar.
Pada 7 Mei tahun ini, mahkamah sivil menolak permohonan Yusoff untuk memaksa polis mendedahkan keputusan ujian poligraf yang dia ingin gunakan bagi mengukuhkan samannya.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment