PENULIS TEMERLOH GUNA WATAK PELACUR KRITIK ORANG POLITIK LEBIH 50 TAHUN LALU
Banyak karya Pak Sako berunsur simbolik, kritikan tajam terhadap politikus rendah moral berpolitik
Ishak Haji Muhammad (14 November 1909 - 7 November 1991) atau lebih dikenali sebagai Pak Sako merupakan seorang penulis yang giat menulis sekitar tahun 1930-an sehingga 1950-an. Selepas itu, beliau terus menulis di beberapa media cetak -kolumnis Utusan Malaysia menggunakan nama pojok Pak Pandir Moden, serta banyak tulisan beliau tersiar di beberapa majalah, termasuk majalah Gila-Gila, sebuah majalah kartun yang sangat popular di zaman 70an dan 80an.
Ishak Haji Muhammad ialah seorang nasionalis negara. Kelibatnya bermula pada era sebelum kemerdekaan dan pascamerdeka. Gagasan yang ingin diperjuangkan oleh Pak Sako ialah penyatuan Melayu Raya yang mana Indonesia, Malaysia dan Brunei disatukan dalam satu serumpun.
Pak Sako sebenarnya ialah julukan kepada nama Isako-san yang dipanggil orang-orang Jepun. Pak Sako juga dikenali juga dengan nama samaran seperti Anwar, Hantu Raya, Isako San dan Pak Pandir Moden.
Pak Sako lahir pada tahun 1909 di Kampung Bukit Seguntang (antara Kampung Tengah dengan Kampung Buntut Pulau), Temerloh, Pahang dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Laki-Laki Temerloh (kini Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah), Temerloh pada tahun 1919 dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis pada tahun 1924 hingga 1928. Pak Sako lulus sijil persekolahan dari Sekolah Inggeris Raub pada tahun 1929. Pada tahun 1930, beliau melanjutkan pelajaran ke MCKK (Maktab Melayu Kuala Kangsar) untuk berlatih sebagai Pegawai dalam Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu (Malayan Civil Service). Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah, Majistret Kelas III dan guru bahasa sebelum menyertai dunia penulisan.
Pak Sako bekerja sebagai Majistret Kelas lll. Setelah sekian lama bekerja, Pak Sako mendapati pihak British seperti ingin membuat sesuatu perkara yang negatif terhadap orang Melayu. Pada tahun 1934, Pak Sako meletakkan jawatan beliau sebagai Majistret Kelas lll kerana tidak mahu bekerjasama dengan pihak British lalu menjelajah Semenanjung Tanah Melayu. Pak Sako kemudiannya menumpukan usaha kepada penulisan dan politik nasionalis. Pak Sako dipenjarakan sebanyak dua kali (1948 – 1953) dan (1965 – 1966).
Pak Sako merupakan orang yang pertama bercita-cita menerbitkan akhbar Utusan Melayu dan seterusnya menjadi pengasas kepada penerbitan akhbar tersebut. Beliau meninggalkan Warta Malaya lalu menjelajah ke negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu untuk berkempen bagi penubuhan Syarikat Utusan Melayu. Pak Sako bertugas di Utusan Melayu di bawah ketua pengarang Abdul Rahim Kajai. Semasa pemerintahan Jepun, Pak Sako menjadi pengarang Berita Malai.
Pak Sako tak pandai pandu kereta
Pak Sako terus tinggal di Hulu Langat walaupun bekerja di Kuala Lumpur. Untuk ke pejabat, Pak Sako menggunakan pengangkutan awam. Buat seketika, Pak Sako mempunyai sebuah kereta Fiat semasa dia bekerja di Rembau tetapi Pak Sako tidak memandu, dan terpaksa menggunakan pemandu.
Pak Sako banyak menghasilkan novel, cerpen, esei dan memoir serta turut menulis rencana untuk akhbar Kumpulan Utusan Melayu. Perpustakaan Negara Malaysia memperolehi lebih daripada 1,000 naskhah koleksi kesusasteraan hasilan beliau. Di samping itu, beliau juga telah menghasilkan 2 buah karya yang terkenal iaitu Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila yang mencerminkan pandangan dan cita-cita beliau sebagai patriot dan sasterawan. Beliau juga bergiat cergas untuk menulis cerpen. Nukilan tersohor Pak Sako, Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila merupakan novel satira yang ditujukan kepada orang-orang British dan juga sebagai kritikan kepada orang-orang British. Pak Sako memberatkan kebudayaan Melayu dalam penulisannya, dan mengagungkan budaya Melayu dengan membandingkannya dengan budaya Inggeris yang kurang kualiti dan terlalu agresif.
Sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau, Universiti Malaya telah menganugerahkan kepadanya Ijazah Kehormat Doktor Persuratan pada 29 Jun 1973. Pada 29 Mei 1976, Pak Sako telah menerima anugerah "Pejuang Sastera" daripada Perdana Menteri ketika itu, Hussein bin Onn.
Beliau meninggal dunia pada 7 November 1991 di Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor.
Kritikan Pak Sako sejak lebih 50 tahun lalu turut sedang berlaku sekarang, malah lebih teruk
PAK SAKO_NASIONALIS..
Tersebar luasnya politik korup, batil, dan tiada etika ini menyebabkan rakyat atau orang awam kehilangan kepercayaan kepada pemerintah serta memilih untuk cenderung kepada masyarakat sivil yang lebih hampir dengannya.
Chinda Tejavanija dalam karangan “Ethics Of Political Leaders: The Comparative Study Of George W Bush and Thaksin Shinawatra” mengatakan tanpa politik yang jernih; rakyat akan berasa mual, dan tidak yakin untuk ikut berpartisipasi dalam pentadbiran kerajaan. Sedangkan rakyat komponen utama dalam politik:
“What happens when political leaders behave unethically? The public becomes cynical and suspicious, people morale suffers, and confidence in government is shattered. To combat this cynicism, the political leaders must exhibit the old-fashioned virtues of honesty, respect, integrity, professionalism, accountability, fairness, competence, and responsibility.”
K Ramanathan dalam “Asas Sains Politik” menyebutkan salah satu ciri politik tiada etika adalah apabila terdapatnya ciri-ciri totalitarian. Antara ciri totalitarian ini adalah apabila “hanya satu parti politik sahaja yang wujud meliputi peratusan yang kecil daripada jumlah penduduk keseluruhannya”.
Beliau seterusnya menyatakan pemonopolian media massa dan pengawasan semua aspek kehidupan dengan pengawalan dan pemantauan terhadap semua lapisan masyarakat merupakan salah satu ciri politik rejim atau politik yang mengikat.
Suatu hal yang wajar disentuh ialah politik tidak bermoral menjadi tema khusus dalam “Norita dan Kesah2 Kuching Hitam” oleh Pak Sako ini. Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako orang Temerloh, Pahang. Beliau pernah menjadi pegawai pentadbir, majistret, wartawan Utusan Melayu sebelum terlibat dalam politik pada 1959. Pak Sako terlibat dalam Parti Buruh Malaya dan pernah ditahan pemerintah ketika itu kerana kegiatan politiknya antara 1965-1966. Dalam tempoh gelora politik inilah Pak Sako menghasilkan “Norita dan Kesah2 Kuching Hitam”.
Novel ini mengupas subjek politik cabul. Persoalan ini ditampilkan menerusi watak Norita dan Rose, 2 watak yang tidak bermoral iaitu ibu ayam dan pelacur (tukang urut). Pak Sako kelihatannya ingin menegaskan ketidaksenangan beliau terhadap gaya politik biadab yang berleluasa dalam politik negara ketika itu. Terdapat kemungkinan Pak Sako sengaja memilih watak yang tidak bermoral seperti ibu ayam dan pelacur untuk menjelaskan persoalan keruntuhan moral ahli politik.
Sebagai contoh, dalam novel ini terdapat watak Norita (seorang ibu ayam) membacakan kepada Rose keratan akhbar mengenai niat dan azam ahli politik wanita dari Umno untuk membela nasib kaum perempuan. Dapat diandaikan di sini, bahawa watak pelacur yang bercakap mengenai hasrat seorang pemimpin wanita untuk membela kaum wanita adalah sindiran pedas terhadap parti tersebut:
“‘Aku bersukacita bahawa sekarang sudah ada tindakan-tindakan atau sekurang-kurangnya suara-suara daripada pemimpin-pemimpin kaum wanita untuk menjaga maruah, kehormatan, dan kepentingan kita kaum wanita seluruhnya’ – sambung Norita yang kemudian membacakan satu berita dari Batu Pahat yang tersiar dalam Utusan Melayu…
“…Norita meletakkan kertas-khabar itu balik ke atas meja. Berita itu yang sebenarnya bukan besar dan tidak pula luar biasa kepadanya. Bagaimanapun dia besar hati mengetahui bahwa wanita-wanita Melayu sekarang sudah bertambah ramai yang berani menyatakan pendapat dan fikirannya.
“Dia sedar, kemajuan dalam berbagai-bagai lapangan, telah dicapai oleh kaum wanita bangsanya. Hal ini juga menyenangkan hatinya. Tetapi nasib golongan wanita-wanita seperti Rose, Lili, Mary, Maria dan lain-lain yang beraih malam di bandar-bandar besar dan kecil dalam Malaysia adalah mendesak dan menggesa perasaannya supaya berbuat sesuatu yang baik dan menguntungkan untuk mereka itu.”
“‘Saya angkat tangan beri hormat pada Cik Sumiah’ – kata Rose olok-olok berbangga”.
Tanda sokongan Pak Sako terhadap kaum wanita – dalam hal ini pekerja seks – cukup menarik untuk ditekuni memandangkan karya sezaman dengannya hanya meletakkan wanita sebagai objek seks. Akan tetapi dalam karya ini, wanita menjadikan seks itu sebagai alat. Malah wanita-wanita yang ditampilkan itu bijak berwacana mengenai politik, dan bukan hanya bodoh terperuk.
Dalam satu sedutan lain dari novel “Norita dan Kesah2 Kuching Hitam”, Pak Sako menegur perseteruan politik antara pemimpin-pemimpin Melayu di Pahang pada waktu itu. Beliau menyifatkan perselisihan politik mereka adalah bersumberkan kebendaan dan kuasa dan bukan untuk kepentingan masyarakat atau rakyat. Watak Kassim yang sedang diperhatikan Norita dan Rose mengeluh kepada teman bualnya:
“‘Yang dah kaya nak kaya lagi. Pada hal rezeki banyak dalam negeri ini, terutama macam negeri Pahang ini. Kalau berbagi dengan adil nescaya tak habis sampai ke cucu cicit. Tetapi apa sudah jadi? Lihat sajalah perkara Rahman Talib dengan Bakar Ismail, misalnya. Yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang. Lesung dengan cupak berlaga, ayam yang kenyang, dan antan yang patah'” – bersungut lagi orang tua itu.
“‘Betul. Encik Kassim, betul’ – Mat Din menyokong dan bersimpati dengan perasaan tak puas hatinya itu.
"Baru-baru ini pula, Encik Kassim’ – Omar pula menokok – ‘Ada cadangan nak buat undang-undang untuk kepentingan orang-orang yang memegang tampuk kerajaan negeri ini. Kalau mereka itu mati atau dapat kemalangan, hilang mata atau tangan, misalnya, kerajaan negeri ini akan bayar kepada mereka itu atau waris-warisnya.'”
Petikan di atas menunjukkan betapa Pak Sako secara tajam memperihalkan bagaimana ahli politik kelihatannya bekerja hanya untuk kepentingan agenda sendiri. Undang-undang yang digubal malah bertujuan untuk melindungi ahli politik. Bukannya untuk melindungi rakyat. Bahkan Pak Sako menegaskan, percaturan dan pergaduhan politik semasa akan hanya mengorbankan rakyat terbanyak.
Seperti yang dinyatakan oleh Chinda Tejavanija sebelumnya, politik tiada etika hanya akan menyebabkan rakyat tidak berpartisipasi, putus asa, dan hilang kepercayaan kepada pemerintah atau kerajaan, khususnya jika kerajaan tersebut kerajaan yang korup.
Dalam konteks ini, watak Norita dalam novel “Norita dan Kesah2 Kuching Hitam” menyatakan kerajaan tidak menyumbang apa-apa kepada kehidupannya yang sudah sedia tidak bermoral itu. Apa kata Norita tentang Kabinet sedia ada?
“Itu semuanya tidak berarti apa-apa kepada Norita. Kabinet turun naik, kerajaan-kerajaan hancur lebur, dan bertukar ganti. Itu sudah berulang-ulang kali semenjak zaman dahulu kala. Sepuluh jong masuk, anjing bercawat ekor juga. Dua puluh jong pecah, ikan-ikan yu yang kenyang.”
Perenggan di atas, sudah tentu cukup berbisa dan membuatkan ahli politik ketika itu berdesing telinga. Karya-karya Pak Sako yang ditulis ketika beliau aktif berpolitik ini kurang diketahui umum sedangkan ia menampilkan mesej yang kuat serta baik persembahannya.
Norita bukan tukang urut biasa. Dia tukang urut yang tahu tindak-tanduk Kabinet; “Kabinet turun naik, kerajaan-kerajaan hancur lebur, dan bertukar ganti.”
Peribahasa yang diangkat Pak Sako – sepuluh jong masuk, anjing bercawat ekor juga – itu juga satu komentar politik yang hangit. Ia mendatangkan maksud betapa pun kemajuan perubahan yang berlaku dalam negeri, tetapi rakyat akan tetap seperti keadaan yang sedia ada juga. Waima siapa pun bertukar menjadi kerajaan.
Karya-karya Pak Sako yang terpinggir ini ternyata mempunyai keistimewaan tersendiri dan sangat relevan dengan lingkungan sosio-politik hari ini. Novel-novel Pak Sako tatkala itu, sepertinya “Norita dan Kesah2 Kuching Hitam” menghujahkan kerajaan ketika itu tidak banyak membantu orang Melayu dan memusuhi keadilan untuk golongan miskin.
Sayang Pak Sako tidak mendapat pengiktirafan yang wajar ketika hidupnya.
Semua Hak Cipta Terpelihara
hubungi kami +6011 1185 9874
atau permadu@gmail.com
gambar dan sokongan teknikal
Zafiyah Hussain
Comments
Post a Comment