Wajah-wajah bakal menteri mengikut kajian Berita Harian
Selepas mendapat pandangan dua orang penganalisis politik tempatan, akhbar Bahasa Melayu tertua di Malaysia, Berita Harian berkata beberapa nama disebut berpotensi mengisi jawatan dalam Kabinet, susulan rombakan yang dijangka dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bila-bila masa, berikutan kekosongan empat jawatan menteri yang berlaku ketika ini.
Tambah akhbar itu, penganalisis politik berpendapat, selain pelantikan baharu mengisi jawatan menteri mengetuai empat kementerian itu, kemungkinan juga berlaku pertukaran portfolio dalam kalangan anggota Kabinet sedia ada.
Antara nama dijangka bertukar portfolio ialah Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang disebut berpotensi bertukar ke Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) atau Kementerian Ekonomi.
Selain itu, nama lain yang dilihat berpotensi mengisi kekosongan jawatan menteri ialah Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan, yang ketika ini menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Naib Presiden AMANAH, Encik Adly Zahari, yang juga Timbalan Menteri Pertahanan.
Penganalisis melihat kemungkinan Timbalan Presiden PKR, Puan Nurul Izzah Anwar dan bekas Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaludin Abu Bakar, berpotensi dibawa masuk menyertai Kabinet menerusi lantikan sebagai Ahli Dewan Negara atau Senator. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Ahli Parlimen Gombak dan Naib Presiden PKR juga disebut-sebut berpotensi dilantik sebagai menteri.
Pada masa sama, nama Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang kini berstatus Ahli Parlimen Bebas selepas dipecat partinya, dilihat berpotensi menyertai Kerajaan MADANI.
Pemimpin UMNO yang menunjukkan prestasi baik menerusi tanggungjawab diberikan kepada mereka ketika ini seperti Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, juga dilihat berpotensi disenaraikan.
Johari miliki kredibiliti
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Encik Hisomuddin Bakar, berkata Johari mempunyai kredibiliti mengisi kekosongan di MITI selepas Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menamatkan tugasnya di kementerian itu semalam, berikutan tamat tempoh lantikan sebagai Senator.
"Johari dilihat mempunyai kebolehan bagi menangani isu berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS). Selain itu, kedengaran juga suara yang kuat supaya Ramanan dan Khairy untuk menganggotai barisan Kabinet," katanya kepada akhbar berkenaan.
Selain MITI, Kementerian Ekonomi serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengalami kekosongan Menteri sejak Mei lalu, ekoran peletakan jawatan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli dan Encik Nik Nazmi Nik Ahmad, selepas tewas dalam pemilihan PKR.
Kekosongan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pula berlaku selepas Datuk Ewon Benedick meletak jawatan pada 8 November lalu, susulan tindakan parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menarik diri sebagai ahli gabungan Pakatan Harapan (PH).
Selain Tengku Zafrul, tiga lagi Menteri akan tamat penggal pertama sebagai Senator, ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Mengulas lanjut, Hisomuddin berkata, pertukaran kecil portfolio yang mungkin dilakukan Perdana Menteri bertujuan mengelakkan sebarang gangguan dalam kelancaran pentadbiran kerajaan.
Beliau menjangkakan saiz Kabinet sedia ada akan kekal kerana sudah mencukupi mentadbir negara dengan berkesan.
"Saya merasakan menteri lain akan kekal di portfolio mereka. Dengan berbaki kurang setahun setengah lagi, sesuatu portfolio memerlukan masa untuk menteri itu serasi dengan kementerian yang diamanahkan kepadanya.
"Justeru, faktor perubahan besar-besaran akan merencatkan kelancaran perjalanan kerajaan," katanya.
Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali, berpandangan selain MITI, Johari juga berpotensi ditukar ke Kementerian Ekonomi.
Selain kemungkinan Khairy kembali menyertai Kabinet, beliau berkata, Perdana Menteri juga boleh membuat lantikan dalam kalangan teknokrat berpengalaman untuk memperkukuh barisan Kabinetnya.
"Pada masa sama, dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan juga, ramai yang berpotensi untuk diketengahkan, contohnya daripada Barisan Nasional (BN). Saya fikir rombakan ini sekadar menggantikan portfolio yang kosong dan sedikit pertukaran portfolio," katanya.
Mazlan berkata, ketika ini hanya Nurul Izzah dilihatnya sesuai diketengahkan ke dalam Kabinet kerana tokoh lain dalam PKR seperti Ahli Parlimen Ampang, Puan Rodziah Ismail, dilihat lebih dekat dengan Rafizi.
"Hubungan di antara Rafizi dan Perdana Menteri ketika ini tidak begitu rapat, sekali gus mengehadkan ruang untuk Rodziah dalam Kabinet. Bagi UMNO, beberapa nama yang berwibawa berpotensi mengisi kekosongan yang ada, antaranya Asyraf Wajdi dan Reezal Merican yang mempunyai rekod prestasi baik.
"Sementara itu, daripada AMANAH, Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari berpotensi dinaikkan daripada Timbalan Menteri kepada Menteri sebelum tempatnya pula boleh diisi tokoh AMANAH seperti Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof," katanya.
Beliau berkata, langkah itu konsisten dengan kedudukan AMANAH dan PKR sebagai rakan utama dalam Kerajaan Perpaduan dan koalisi Pakatan Harapan (PH).
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment