Kemesraan landak yang dahagakan kasih sayang💝
Selepas kucing, landak berpotensi menjadi haiwan kesayangan mesra dan manja
"Ramai yang sangka bela landak bahaya, sedangkan haiwan ini sebenarnya jinak seperti kucing," kata Khairul Johari, 42, seperti dilapor akhbar Harian Metro hari ini.
Khairul berkata, ramai mempunyai persepsi negatif terhadap haiwan eksotik itu kerana fizikal landak yang dipenuhi duri tajam dan sering disangka garang.
Katanya, hakikatnya haiwan itu manja dan tidak agresif jika dijaga dengan betul sebagai haiwan kesayangan di rumah.
"Di rumah, saya ada tujuh ekor landak raya yang setiap satunya mempunyai nama seperti Blacky, Dino, Tuah, Daisy, Dina dan Dini. Semua ini saya pelihara sejak lapan tahun lalu sebagai antara haiwan kesayangan.
"Empat anak saya juga suka bermain dengan landak kerana haiwan ini sebenarnya memiliki karakter manja dan suka dilayan oleh pemiliknya," Khairul memberitahu akhbar berkenaan.
Menurutnya, walaupun kelihatan garang dengan duri di badan, landak hanya akan mengembangkan durinya jika berasa terancam, dan selagi jinak, ia tidak membahayakan manusia.
"Sebenarnya kalau landak itu daripada baka peliharaan, ia sudah biasa dengan manusia," katanya.
Terdahulu, perkongsian Khairul di Facebook mengenai landak peliharaannya di kediaman tular di media sosial sehingga mendapat lebih 31,000 tanda suka daripada warganet.
![]() |
| ADVERTISEMENT |
Dalam perkongsian itu, kelihatan anak bongsunya berusia setahun sedang tidur bersama salah seekor landak yang dinamakan Blacky.
Menurutnya, perkongsian mengenai landak itu hanya bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa haiwan berkenaan boleh dijadikan peliharaan dengan syarat mempunyai lesen yang sah.
"Saya tidak sangka perkongsian itu akan tular. Di ruangan komen, saya menerima banyak maklum balas positif daripada orang ramai yang teruja melihat landak dan tidak tahu ia boleh dibela. Ramai juga bertanya cara untuk membela haiwan itu.
"Sehingga kini, saya masih menerima beratus-ratus mesej daripada individu yang berminat membeli landak. Tetapi saya tidak menjual kerana hanya mempunyai lesen simpan, bukan lesen jual," katanya.
Beliau berkata, lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diperlukan untuk memelihara haiwan itu bagi mengelakkan sebarang masalah undang-undang.
"Saya nasihatkan orang ramai supaya membeli daripada pembiak baka berdaftar supaya mudah mendapatkan lesen. Jika bela tanpa lesen, risiko dikenakan tindakan memang tinggi," katanya.
Selain landak, Khairul yang pernah tular di media sosial turut memelihara beberapa haiwan lain termasuk buaya, musang dan burung kerana minat mendalam terhadap dunia haiwan.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.








Comments
Post a Comment