Sebutan kes calon perdana menteri dari Bersatu bermula hari ini
Akhbar Berita Harian melaporkan sebutan kes bagi empat tuduhan salah guna kedudukan membabitkan suapan berjumlah RM232.5 juta dan tiga kes pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta yang dihadapi Tan Sri Mahiaddin Md Yasin, lebih dikenali sebagai Muhyiddin Yassin, akan bermula hari ini.
Sebutan kes ditetapkan selepas bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu gagal menggugurkan ketujuh-tujuh pertuduhan ke atasnya dan 30 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Ini susulan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dihantar pasukan peguam Muhyiddin yang diketuai Datuk Hisyam Teh Poh Teik untuk menggugurkan semua tujuh tuduhan itu pada 19 Ogos lalu.
Tarikh sebutan ditetapkan hakim, Encik K Muniandy bagi membolehkan pendakwaan dan pembelaan menyelaraskan dokumen dan pernyataan saksi sebelum perbicaraan penuh dijalankan dengan kehadiran Ahli Parlimen Pagoh dikecualikan.
Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi membatalkan empat tuduhan terhadap Muhyiddin atas alasan ia kabur dan tidak berasas, bagaimanapun pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan pertuduhan dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.
Pada 4 April lalu, Muhyiddin memohon kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan itu membabitkan isu undang-undang yang kompleks dan berkepentingan awam.
Keputusan rayuan SESB
Dalam pada itu, keputusan permohonan syarikat Semantan Estate Sdn Bhd (SESB) untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pertikaian membabitkan tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar) di Mukim Batu dikenali sebagai Duta Enclave akan diketahui Khamis (13 November).
Pada 24 Jun lalu, tanah Duta Enclave kekal menjadi milik kerajaan selepas kerajaan dan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan berjaya dalam rayuan mereka bagi mengetepikan perintah supaya ia memindah milik tanah berkenaan kepada SESB.
Tanah yang terletak di kawasan utama Jalan Duta menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara turut mengarahkan pampasan dibayar kepada syarikat berkenaan, yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi dalam tempoh 90 hari dengan bantuan analisis pakar.
Panel juga menolak rayuan silang SESB supaya tanah berkenaan yang terbabit dalam pengambilan balik oleh kerajaan sejak 1956, dipindah milik kepada syarikat terbabit.
Pada 8 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan saman pemula SESB supaya tanah itu dipindah milik kepada syarikat itu mengikut Seksyen 417 Kanun Tanah Negara 1965.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan saman pemula SESB dan menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu cadangan penyelesaian oleh kerajaan berhubung pertikaian tanah berkenaan.
Mahkamah memerintahkan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mendaftarkan SESB sebagai pemilik tanah, melaksanakan semua surat cara pindah milik serta mengeluarkan dokumen hak milik tanah tanpa bebanan dan liabiliti atas nama plaintif.
Pada 12 September tahun sama, kerajaan berjaya dalam permohonan menggantung keputusan berkenaan sementara menunggu pelupusan rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan.
Permohonan Toh Puan Na'imah
Seterusnya, keputusan untuk permohonan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, balu Tun Daim Zainuddin, bagi menjadi pencelah dalam kes permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan aset luar pesisir bernilai lebih RM1 bilion di Jersey diketahui Khamis.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat dan Siti Amira Muhammad Ali mewakili SPRM serta peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Encik Abraham Au, mewakili Na'imah.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.








Comments
Post a Comment