Nga Kor Ming yang malukan negara, kata Berita Harian
![]() |
| Encik Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan |
Gelagat Nga Kor Ming akibatkan orang Melayu bertambah benci kepada DAP
Akhbar Bahasa Melayu berprestij di Malaysia, Berita Harian, semalam berkata tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Encik Nga Kor Ming mengugut wartawan untuk 'menghubungi ketua pengarang' selepas diajukan soalan mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam slogan kempen rasmi kerajaan, iaitu prapelancaran projek 'I Lite U' sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, bukan sekadar reaksi tidak matang, bahkan mencerminkan sikap tidak menghormati peranan dan fungsi media sebagai tiang seri keempat demokrasi.
Menurut akhbar itu, tindakan Kor Ming menegakkan benang basah dengan menganggap soalan wartawan itu kononnya memalukan negara di hadapan pengamal media asing hakikatnya dilakukan beliau sendiri.
"Ini kerana soalan 'mengapa tidak menggunakan bahasa Melayu' bukan provokasi, sebaliknya sah, wajar dan tepat dalam konteks portfolio Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertanggungjawab terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang turut ditaklifkan untuk memantau penggunaan bahasa kebangsaan di ruang awam.
"Sejak dahulu, penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang kecil iklan dilaksanakan PBT dengan kerjasama rapat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selaras Akta DBP 1959 (Pindaan 1995).
"Malah, DBP melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan PBT (JPPBT) secara berkala membincang isu penguatkuasaan bahasa, iaitu realiti pentadbiran yang sepatutnya diketahui semua menteri.
"Lebih mengguris, kenyataan menteri itu mengundang persepsi seolah-olah institusi media boleh ditekan melalui talian telefon politik. Ketika kerajaan berbangga dengan komitmen kebebasan bersuara dan meletakkannya sebagai sasaran penting dalam dasar Malaysia MADANI, tindakan seperti ini bukan sahaja bercanggah dengan semangat reformasi, bahkan mengingatkan kita kepada era lama yang cuba ditinggalkan," kata akhbar itu menerusi lidah pengarangnya.

Tambah Berita Harian, wartawan tidak boleh dianggap sebagai musuh yang cuba memalukan negara, sebaliknya mereka menjadi mata dan mulut rakyat, penyampai maklumat dan pelaksana peranan semak dan imbang. Ugutan terbuka sebegitu terhadap mana-mana wartawan hanya kerana bertanya soalan mengenai dasar negara ialah bibit-bibit keangkuhan kuasa yang perlu dipadam dari awal.
Akhbar itu menegaskan ini juga sama sekali berlawanan dengan komitmen dipegang dan ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang banyak kali menegaskan kedudukan bahasa Melayu yang sakral dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk mengarahkan supaya surat rasmi kepada agensi kerajaan dipulangkan kepada pengirim jika tidak menggunakan bahasa kebangsaan. Ketua yang sepatutnya Kor Ming hubungi bukanlah pengarang kumpulan akhbar yang wartawan itu berkhidmat, sebaliknya kepada ketuanya sendiri, iaitu Perdana Menteri untuk mendapatkan kefahaman semula mengenai dasar bahasa dan kebebasan media dalam kerajaan ini.
"Hakikatnya, kita tidak menolak keperluan mempromosi negara kepada pelancong, tetapi tidak ada satu pun negara maju mengorbankan bahasa kebangsaan semata-mata untuk melayan orang lain. Malah, negara maju seperti Perancis, Jerman, Jepun dan Korea Selatan tidak merendah-rendahkan bahasa kebangsaan mereka, malah ia menjadi aset untuk menarik pelancong asing.
'Kita mengingatkan semua pemimpin bahawa media bebas bukan ancaman, tetapi prasyarat demokrasi matang. Justeru, tindakan mengugut wartawan bukan sahaja memalukan, tetapi menodai gagasan MADANI itu sendiri. Seorang menteri di bawah kerajaan yang meletakkan reformasi sebagai agenda penting perlu tahu bahawa kuasa bukan lesen untuk menekan suara wartawan tetapi amanah yang perlu dijawab dengan wibawa."
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment