Menunggu Bukti Yang Tidak Tiba
Keluhan Mahathir sempena memperingati genap setahun pemergian Daim
Kelmarin, Khamis 13 November 2025, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap Allahyarham Tun Daim Zainuddin masih belum dapat dibuktikan, meskipun bekas menteri kewangan itu masih menjadi sasaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim genap setahun selepas meninggal dunia.
Mahathir berkata sehingga hari ini, tiada satu pun bukti dikemukakan bagi menyokong tuduhan rasuah dan "kekayaan haram" yang dilemparkan oleh Anwar terhadap Daim - tokoh perniagaan yang dua kali dibawa masuk ke dalam kerajaan Mahathir bagi mengemudi ekonomi negara setiap kali berdepan krisis.
"Kalau salah, tunjuklah. Sampai beliau dah meninggal pun, masih lagi kejar kononnya itu duit haram. Tunjukkanlah macam mana kata duit haram," kata Mahathir dalam satu perbualan dengan portal berita pro-Perikatan Nasional, MalaysiaNow sempena memperingati ulang tahun pertama kematian Daim.
Mahathir, yang bertanggungjawab membawa masuk Daim ke dalam politik sejurus selepas menjadi perdana menteri ke-4, berkata serangan Anwar jelas bermotifkan dendam politik.
Menurut Mahathir, Daim menjadi sasaran kerana hubungan rapat mereka sejak puluhan tahun lalu.
"Anwar pergi kacau Daim kononnya Daim buat salah apa semua, Daim tak mengaku salah. Dia kata tunjuklah yang dia salah buat apa, tunjuklah. Tapi tak tunjuk juga," tambahnya.
Daim, antara menteri kewangan Malaysia yang paling dikenali dan bertanggungjawab memastikan pemulihan ekonomi ketika krisis kewangan Asia lebih dua dekad lalu, meninggal dunia pada usia 86 tahun pada 13 November tahun lalu.
Beliau yang nama kelahirannya Che Abdul Daim Zainuddin, merupakan ahli perniagaan sebelum menyertai kerajaan sebagai menteri kewangan di bawah era pentadbiran Mahathir, yang menyaksikan pembangunan.
Walaupun uzur di akhir hayatnya, Daim menjadi sasaran serangan Anwar , yang menuduhnya mengumpul kekayaan, diikuti dengan siasatan SPRM.
SPRM akhirnya mendakwa Daim dan isterinya, Toh Puan Naimah Abdul Khalid, atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan harta, yang disifatkan pasangan itu sebagai sebahagian serangan politik Anwar.
Susulan kematian Daim, pihak pendakwaan memohon agar tuduhan terhadapnya digugurkan.
Beberapa bulan selepas itu, Azam yang sekali lagi dilanjutkan tempoh perkhidmatan menerajui SPRM, mengumumkan siasatan akan diteruskan.
Daim dilihat sentiasa mendapat kepercayaan Mahathir, malah sering dihantar menjadi utusan kerajaan dalam rundingan melibatkan isu ekonomi yang rumit. Pelantikan Daim sebagai menteri kewangan pada 1984 ketika ekonomi Malaysia muncul sebagai pusat perindustrian serantau dibantu pelaburan asing secara besar-besaran.
Ketika kemerosotan ekonomi dunia pada pertengahan 1980-an, Daim dilihat sebagai orang yang mengemudi usaha pemulihan, yang seterusnya membuka jalan untuk kebangkitan Malaysia sebagai kuasa ekonomi Asia, kata portal itu.
Mahathir menyifatkan siasatan SPRM terhadap Daim adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membina persepsi membanteras rasuah dengan membawa naratif "kekayaan luar biasa" individu yang tidak disenangi.
Mahathir berkata kekayaan Daim adalah hasil usahanya sendiri sebagai seorang ahli perniagaan lama sebelum beliau dibawa masuk menceburi politik.
"Tapi entah macam mana Anwar tuduh kononnya beliau bagi duit dekat saya. Tak ada satu sen pun. Saya tak minta duit daripada dia."
Mahathir mempersoalkan mengapa ramai ahli perniagaan Malaysia yang memperoleh kekayaan besar di luar negara tidak pernah dituduh mencuri dana.
"Orang di Malaysia ini yang berniaga di luar negara, mereka dapat untung banyak, besar berbilion-bilion.
"Mereka tak didera, tak dikejar, dituduh curi duit. Tapi Daim kononnya curi duit. Apa bukti yang dia curi duit?" soal pemimpin veteran berusia seratus tahun itu.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.









Comments
Post a Comment