Adakah Latheefa Koya hanya melenting bila perdana menteri itu ialah Anwar Ibrahim?
Pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL), Puan Latheefa Koya dilaporkan sebagai berkata pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara tidak banyak meredakan kebimbangan terhadap kebebasan badan kehakiman.
Dalam satu kenyataan yang dipetik Malaysiakini semalam, Latheefa berkata Malaysia masih terperangkap dalam "krisis kehakiman" dan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba meremehkan dakwaan campur tangan eksekutif dalam institusi kehakiman.
“Ini adalah satu cubaan terdesak, tidak jujur dan pentingkan diri sendiri untuk mengelirukan rakyat,” katanya, merujuk kepada kenyataan Anwar yang menolak kontroversi itu sebagai sebaran daripada “peguam yang berpolitik”.
Portal itu turut merujuk akhbar Berita Harian kelmarin yang memetik Anwar sebagai berkata: “Jadi dari mana (timbul spekulasi)? Hanya dari sebaran daripada kalangan tokoh-tokoh peguam yang berpolitik. Saya tidak fikir ini gesaan daripada semua. Jadi saya harap dengan ini menjernihkan keadaan.”
Mengulas perkara itu, Latheefa berkata isu sebenar adalah penumpuan kuasa yang berterusan di tangan perdana menteri, yang masih memegang kuasa di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan tertinggi dalam badan kehakiman.
“Selagi kuasa ini tidak diperbaharui atau dihadkan, krisis kehakiman akan terus berlaku. Keyakinan awam terhadap kebebasan badan kehakiman tidak mungkin dapat dipulihkan dalam keadaan ini,” katanya.
Anwar sebelum ini menafikan beliau pernah mencadangkan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Salleh, sebagai Ketua Hakim Negara — susulan spekulasi yang timbul daripada kenyataan bekas timbalan presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Rafizi pada 13 Julai lalu membayangkan bahawa seorang hakim yang dikaitkan dengan campur tangan dalam badan kehakiman mungkin akan dilantik ke jawatan tertinggi itu.
Tempoh perkhidmatan Tengku Maimun
Sementara itu, Latheefa berkata kontroversi yang tercetus ketika ini melangkaui isu pelantikan tiga hakim tertinggi.
Menurutnya, isu itu bermula apabila tempoh perkhidmatan bekas ketua hakim negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, tidak disambung tanpa penjelasan.
Tengku Maimun bermain politik?
“Tengku Maimun mempunyai rekod cemerlang dan dihormati di seluruh rantau ini. Namun, dia tidak diberikan lanjutan dan disingkirkan dari pejabat, digantikan dengan seorang pemangku Ketua Hakim Negara.
“Mengapa ini perlu berlaku sedangkan dia boleh terus memegang jawatan itu?” soalnya.
Latheefa dalam kenyataannya turut mempersoalkan tindakan tidak konsisten kerajaan apabila tempoh perkhidmatan beberapa hakim Mahkamah Persekutuan lain dilanjutkan, tetapi tidak kepada Tengku Maimun.
“Ini menimbulkan persoalan serius terhadap motif sebenar Anwar, yang masih belum dijawab dengan meyakinkan,” katanya.
Dia turut mengkritik kelewatan pelantikan lebih 30 hakim Mahkamah Tinggi tanpa sebarang penjelasan daripada perdana menteri.
“Adakah ini juga dianggap remeh seperti yang didakwa Anwar?” soalnya lagi.
Dia turut merujuk kepada minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang bocor dan dikatakan mengandungi dakwaan daripada Tengku Maimun sendiri.
Namun, katanya, kerajaan Madani tidak menjawab isu tersebut, sebaliknya mengancam untuk mengambil tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Ini mencetuskan skandal terbesar dalam beberapa dekad,” tegasnya yang mendakwa Anwar cuba menutup isu itu selepas pelantikan ketua hakim negara dimuktamadkan.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan semalam mengesahkan pelantikan Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara, dengan majlis angkat sumpah dijadualkan berlangsung pada 28 Julai.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abu Bakar Jais dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, manakala Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azizah Nawawi dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment