Calon prime minister in waiting persembah gelagat luar biasa, dipercayai untuk mendapat lebih perhatian
Ada andaian, MB yang pernah menimbulkan kontroversi, menjual tanah kerajaan negeri pada harga rendah dari harga pasaran kepada organisasi pimpinan isteri sendiri, berhasrat ganti Hadi sebagai presiden PAS
Beberapa ketika selepas memuat naik hantaran tentang healing dan ketenangan dialami jika berada di tengah laut, seorang calon prime minister in waiting, mengumumkan pengunduran dirinya daripada jawatan Yang Dipertua PAS Marang, semalam.
Tokoh berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Naib Presiden PAS dan Menteri Besar Terengganu dilaporkan membuat keputusan itu semasa mesyuarat agung tahunan PAS kawasan tersebut di Rusila.
Memetik portal berita yang dikendalikan oleh Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Malaysiakini menyiarkan berita, langkah pengunduran Ahmad Samsuri berlangsung dalam detik “penuh emosi” namun merupakan perubahan besar dalam landskap kepemimpinan PAS di kawasan tersebut.
Lapor portal TRDI.my itu lagi PAS kawasan Marang sudah dipimpin oleh Ahmad Samsuri sejak sekian lama.
"Saya undur kerana yakin sudah tiba masanya untuk individu lain menyambung perjuangan.
"Kepimpinan ini bukan milik individu, ia milik jamaah,” kata Ahmad Samsuri yang dipetik portal tersebut.
Pagi semalam Ahmad Samsuri menulis bagaimana dia akan menaiki bot dan ke laut atau pulau untuk healing dan mencari ketenangan.
Malah kata tokoh yang dilihat antara paling dekat dengan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang itu, dia pernah berkunjung ke tiga pulau dalam tempoh satu hari iaitu ke Pulau Redang, Lang Tengah, dan Pulau Perhentian.
“Apa yang menariknya di laut?
“Apabila duduk di tengah laut, sekeliling kita kosong. Jauh baru nampak daratan atau pulau.
“Walaupun ada kawan dalam bot, kita tetap rasa seolah-olah keseorangan. Di situlah saya mula berfikir tentang hidup, tentang masalah atau jalan penyelesaian,” tulisnya.
Pesan terus berjuang
Tambah bekas ahli akademik itu lagi, ada ketikanya ketenangan akan datang semasa seseorang menjauh daripada semua benda untuk seketika.
“Tak semestinya ke laut. Ada orang duduk di tepi pantai, ada yang naik bukit. Tapi carilah masa untuk melihat ke dalam diri sendiri. Fikir tentang arah hidup kita.
“Kalau asyik pegang telefon, scroll (tatal) tak berhenti, kita cuma tengok hal orang. Kita lupa nak tengok hal sendiri,” katanya, seperti ditambah petik Malaysiakini.
Pengunduran Ahmad Samsuri berlaku hanya enam bulan selepas dia meletak jawatan sebagai Bendahari Agung PN. Pengunduran itu juga dibuat agak mengejutkan kerana diumumkan tanpa sebarang petanda awal.
Perkembangan itu juga berlaku ketika PAS dibayangi desas-desus mengenai pengunduran Abdul Hadi daripada jawatan presiden yang dipegangnya sejak lebih 22 tahun lalu.
Ia dihangatkan lagi dengan beberapa isyarat dihantar oleh kumpulan tertentu dalam PAS yang menunjukkan rasa tidak senang mereka terhadap kemungkinan kemunculan tokoh bukan berlatarbelakangkan pendidikan agama.
Bagaimanapun pengunduran itu sudah dinafikan oleh beberapa pemimpin kanan PAS termasuk timbalan presiden parti terbabit, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurut laporan TRDI.my lagi, sebagai langkah penyusunan strategik saf kepimpinan PAS Marang, jawatan Ahmad Samsuri di kawasan itu kini diisi exco kanan Terengganu, Encik Mohd Nor Hamzah, yang sebelum ini menjadi timbalan yang dipertua.
Mohd Nor menang tanpa bertanding bagi jawatan yang dipertua tersebut.
Seorang lagi exco, Encik Ariffin Deraman, pula menggantikan Mohd Nor sebeagai timbalan yang dipertua.
Sementara itu Ahmad Samsuri hari ini memuat naik sekeping gambarnya semasa mesyuarat semalam, kata Malaysiakini.
“Teruskan perjuangan sehingga kita bertemu Allah. Tiada noktah lain dalam perjuangan,” katanya.
End©Permadu
Adaptasi oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment