Semua dah faham sebabnya, Bloomberg cuma nak tengok skil Anwar berdolak dalih


Rakyat tahu Anwar sedang berusaha melakukan yang terbaik untuk Malaysia

Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya sedang tersepit, ahli parlimen Tambun itu pula nampaknya semakin sukar untuk menepis dari dilihat sedemikian rupa.

Video terbitan Malaysiakini

Bukan kerana beliau tidak mencuba menjadikan dirinya pemimpin terbaik negara setelah menanti hampir suku abad untuk dilantik sebagai PM, tetapi Anwar mungkin terlepas pandang sebarang kesilapan yang dia lakukan, kecil atau besar, boleh meranapkan visi reformasi yang lesu dan semakin sayup kedengaran.

Sebagai contoh, perlantikan anak sendiri, Nurul Izzah Anwar, sebagai Penasihat Kanan (Ekonomi dan Kewangan) kepada PM, sudah cukup untuk menggoyangkan kerajaan perpaduan yang mengelirukan dalam konteks memerangi rasuah, anti kroni dan nepotisme, berintegriti, cekap, serta diyakini mampu memulihkan ekonomi negara.

Bahasa mudahnya, macam cakap tak serupa bikin. 

Anwar boleh beri apa jua alasan, malangnya sebahagian besar rakyat tidak dapat menerimanya. 

Kerjasama politik Anwar dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak disukai ramai terus menjadi tumpuan dalam wawancara media.

Sedang rakyat berdukacita sambil faham kehadiran tertuduh perasuah menjadi timbalan perdana menteri, satu demi satu gelagat mencurigakan pentadbiran Anwar dikhuatiri akan menyebabkan rakyat menjadi hilang sabar. 

Malah, baru-baru ini veteran UMNO dan bekas timbalan PM Tun Musa Hitam menegur dalam satu forum, jangan hanya pandai bercakap. Bertindaklah dan lakukannya sekarang. Buktikan apa dicakap diterjemah kepada perlaksanaan.

Teguran Musa dengan segera disokong veteran DAP Lim Kit Siang. 

Ia umpama barah walaupun orang ramai faham kebergantungan Anwar kepada ahli parlimen Bagan Datuk yang menang dengan majoriti tipis bagi membolehkan pengerusi Pakatan Harapan itu berpaut kepada jawatan perdana menteri. 

Video terbitan FMT 

Bloomberg seperti dipetik Malaysiakini adalah yang terbaru menyoal pengerusi Pakatan Harapan itu mengenai perkara berkenaan. Mereka sudah tahu sebabnya, tetapi ingin melihat skil Anwar yang petah bercakap menjawab soalan demi soalan, bahasa lebih sopan, bakat PM itu berdolak dalih. 

Merujuk kepada gesaan tegas menentang rasuah, perdana menteri ditanya bagaimana dia mempunyai timbalan perdana menteri yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah.

Anwar, yang kuasanya bergantung kepada sokongan Zahid dan sekutunya, berkata bahawa dia tidak mahu terburu-buru mendahului mahkamah berhubung kes presiden UMNO itu.

Pada masa sama Anwar sudah mendahului mahkamah menuduh seseorang memberi kontrak dan projek kepada anak menantu semasa menjadi perdana menteri. Walaupun tidak menyebut nama, beliau dipercayai merujuk kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Sepatutnya, biarlah pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

SPRM sudah bertindak pun. Semalam, dilaporkan akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), lebih dikenali sebagai Bersatu, telah dibekukan. 

Anwar dilaporkan berkata: “Dia (Zahid) telah disiasat dan didakwa - sedang menjalani perbicaraan dan mahkamah harus membuat keputusan secara bebas. Saya menyatakan dengan sangat jelas bahawa mahkamah adalah bebas dan saya tidak fikir saya harus menghakimi terlebih dulu (daripada mahkamah).

“Tetapi ia tidak sepatutnya hanya bersifat politik semata-mata. Mengapa merujuk kepadanya (Zahid) secara peribadi sedangkan saya telah mengatakan bahawa sistem itu yang korup?

“Terdapat begitu ramai pemimpin politik lain yang telah menyalahgunakan jawatan mereka; bekas perdana menteri, bekas menteri kewangan, mencecah ratusan dan jutaan dolar,” katanya.

Ditekan lebih lanjut, Anwar menjawab: “Saya bukan di sini untuk membincangkan kesnya. Saya di sini untuk mencadangkan bahawa proses mahkamah mesti bebas dan dia mesti diberi peluang - keadilan untuk diadili oleh mahkamah yang bebas dan tidak berat sebelah."

Mengenai apa yang akan berlaku jika Zahid disabitkan kesalahan dan dipenjarakan, antara yang mungkin ialah tumbangnya Anwar sebagai perdana menteri. 

Namun, Anwar memilih untuk bercakap tentang bagaimana keadaan telah berubah.

“Mari kita bergerak ke hadapan. Kita perlu bekerja dari hari pertama, untuk memastikan sistem yang kita ada mempunyai tadbir urus yang baik, dan sistem itu bebas daripada pemimpin yang korup. Dan saya fikir untuk bersikap adil, mereka telah mematuhi peraturan ini sekarang.

“Tiada satu kesan yang saya dapati daripada mana-mana pasukan saya kini cuba membazir melalui kontrak atau projek dan saya puas hati dengan itu. Orang harus menilai saya bermula dua bulan lalu,” tambahnya.

Zahid bakal dibebaskan?

Sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-15 lagi, terdapat dakwaan mengenai pakatan antara Anwar dan Zahid - dengan pesaing politik mendakwa ia akan berakhir dengan pembebasan Zahid.

Mengenai perasaan menjadi perdana menteri selepas lebih dua dekad dalam politik, Anwar berkata: “Menunggu di koridor kuasa sudah tentu satu pengalaman kerana anda memerhatikan pemain-pemainnya.

“Ia seperti King Lear dengan Cordelia melihat ke pentas dan anda belajar daripada kekuatan dan kelemahan musuh anda, dan mudah-mudahan apabila anda berada di pejabat, anda cuba dan bertambah baik, dan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat," tambah Anwar, merujuk kepada karya penulis Inggeris, William Shakespeare.

End©PermaduEnd©PermaduEnd©PermaduEnd©PermaduEnd©Permadu


Oleh Fauzi Kadir

Konsep/Teknik Persembahan/Teks Berita
dibantu oleh Rahayu Mansor


Suntingan terakhir dan dibawa kepada anda oleh
Fauzi Kadir KETUA PENGARANG

© 2023 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
E-mel: permadu@gmail.com


DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH JEMAAH SIDANG PENGARANG  

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Handsome anak lelaki tunggal Anwar Ibrahim dan Wan Azizah

Penjelasan Tengku Zafrul umpama Hail Amir tanya Uji Rashid

Singapura Tanam Padi

Kuasa didahulukan, reformasi dikemudiankan – realiti yang akan dilakukan semua perdana menteri

GEMPAR: MUFTI PERLIS TERLIBAT BUNUH AMRI CHE MAT?

Gaji CEO TNB khabarnya berjuta, tapi prestasi GLC itu macam tak sepadan

Kes-kes bunuh diri terjun jambatan di Kelantan membimbangkan

Jabatan Penjara Malaysia jawab "Abang Mat" mengenai layanan kepada Anwar sebagai banduan

Sekolah Kebangsaan – High Budget But Low Quality?